Malaysia Dateline

Tidak timbul soal derhaka dalam kemelut politik Perak, kata Pas

Pas melihat isu yang paling utama dalam pelantikan Exco Perak adalah hasil muafakat bersama dengan Bersatu dan Umno.

“Soal ADUN Pas di lantik sebagai exco atau tidak adalah hak Tuanku Sultan Perak.

“PAS akur apa sahaja yang baik pada pandangan Tuanku kerana yakin kestabilan kerajaan adalah keutamaan Tuanku,” demikian menurut Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya.

Justeru katanya, tidak timbul soal ‘derhaka’ atau tidak kerana sesuatu kemelut politik harus dilihat secara menyeluruh bukan hanya sesuatu juzuk untuk membuat penilaian.

Katanya, Pas yakin dengan mengurus kemelut yang berlaku memerlukan ruang tersendiri dan waktu yang sangat singkat.

“Dalam situasi begini, tidak hairan kalau salah faham, silap maklumat dan tentunya golongan yang berkepentingan akan mengambil kesempatan.

“Apapun dengan kesabaran semua pihak dan jiwa besar akhirnya ia berjaya diselesaikan.

“Alhamdulillah kemelut ini tidak mengambil masa yang lama. Kini masa untuk melihat ke hadapan bagi meneruskan pembangunan negeri, menjaga kebajikan rakyat dan memperkukuhkan muafakat politik,” katanya.

Dengan melantik Datuk Saarani sebagai Menteri Besar Pera Pas kira kemelut politik berjaya diredakan hasil muafakat dengan Bersatu dan Umno.

Beliau percaya, tentunya akan ada pertambahan exco bagi melengkapkan urus tadbir kerajaan negeri dan menyerahkan atas kebijaksanaan Tuanku Sultan.