Malaysia Dateline

Tidak timbul soal kelulusan, Belanjawan 2021 sudah langgar Perlembagaan

Sebagai Ahli Parlimen, yang antara lain tanggungjawab yang diamanahkan adalah untuk melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, persoalan berikut sentiasa menghantui saya.

“Adakah kerajaan yang ada sekarang ini boleh atau berhak membentangkan belanjawan, apatah lagi, meluluskannya di Parlimen?

Setelah mempertimbangkannya secara mendalam persoalan yang menghantui saya tersebut, dengan hormat, saya hujahkan ia (kerajaaan sekarang ini) tidak boleh berbuat demikian.

Izinkan saya mulakan pembicaraan saya dengan merujuk kepada undang-undang tertinggi negara ini iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Sesiapa yang biasa dengan undang-undang Perlembagaan, mungkin mereka biasa dengan istilah berikut iaitu constitutionalism.

Secara mudahnya, constitutionalism itu merujuk kepada keadaan di mana sesebuah kerajaan itu sewajarnya terhad atau dihadkan kuasanya dan kekuasaan dan keabsahan kerajaan tersebut bergantung kepada sejauh mana ia mematuhi had dan sekatan tersebut.
Kesimpulannya, kerajaan yang baik dimaknai dengan pematuhan ketat kepada doktrin constitutionalism tersebut.

Meskipun ketiadaan prakata/ mukadimmah/ kata-kata aluan (preamble) dalam Perlembagaan negara (tidak seperti perlembagaan sesetengah negara misalnya Amerika Syarikat) , yang mana prakata itu, antara lain, mendefinisi secara umum tubuh badan sesuatu perlembagaan itu.

Namun begitu, bagi saya, Perlembagaan negara kita masih dijiwai oleh prinsip constitutionalism.

Sebagai peringatan, sesebuah negara mungkin mempunyai Perlembagaan namun tidak semestinya ia, dalam masa yang sama, mempunyai juga constitutionalism.

Sesiapa yang menekuni dengan teliti undang-undang tertinggi negara mungkin boleh bersetuju bahawa ia berhasrat untuk mempromosi sebuah kerajaan yang terhad dan dihadkan kuasanya iaitu kerajaan yang hanya boleh didirikan atau dibentuk melalui mandat khusus daripada rakyat melalui pilihan raya umum yang berkala di peringkat Persekutuan dan Negeri.

Justeru, dari kacamata Perlembagaan, kerajaan pintu belakang – kerajaan yang tidak dapat mandat rakyat yang sewajarnya – adalah terlalu asing jika dilihat dari prisma constitutionalism.

Dengan lain perkataan, ia bukan sebuah kerajaan demokratik, lalu ia melanggar prinsip asas demokrasi Perlembagaan dan demokrasi Parlimen.

Lagipun seperti yang kita tahu, demokrasi itu sendiri selalu dikenali sebagai sebuah kerajaan rakyat, daripada rakyat kepada rakyat. Sila perhatikan bahawa kata kuncinya adalah rakyat. Noktah.

Dengan memperoleh mandat rakyat melalui pilihan raya yang bebas dan adil, kerajaan itu memiliki sepenuhnya atau semutlaknya keabsahan dan kuasa yang sah untuk berurusan dengan dana awam atau wang orang ramai yang hakikatnya hanya diamanahkan kepada kerajaan itu.

Tidak perlu untuk dikatakan, kerajaan itu hanya bertindak sebagai pemegang amanah dana wang negara. Dalam lenggok bahasa demokrasi dan Perlembagaan, dana awam atau wang rakyat itu hendaklah hanya boleh dibelanjakan setelah suatu belanjawan tahunan yang “proper” dibentang dan diluluskan dengan secara sah di Parlimen.

Pembentangan dan kelulusan sesuatu belanjawan itu menandakan atau dalil kepada keyakinan ke atas kerajaan itu. Sebaliknya, kegagalan ianya diluluskan menandakan kehilangan keyakinan ke atas kerajaan tersebut.

Namun, pembentangan dan kelulusan belanjawan itu hanya sekadar fasa atau peringkat kedua. Untuk mencapai fasa kedua ini, “kerajaan” itu wajib terlebih dahulu melepasi fasa atau tahap pertama.

Fasa atau tahap kedua mengandaikan tahap atau fasa pertama telah berjaya dilepasi terlebih dahulu iaitu kewujudan kerajaan yang sah iaitu kerajaan yang ada mandat rakyat secara sah!

Dengan ketiadaan mandat rakyat yang suci (sacred) itu, isu pembentangan belanjawan, apatah lagi isu melulusksnnya, tidak berbangkit sama sekali. Noktah.

Oleh itu, saya hujahkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November lalu adalah semutlaknya TIDAK SAH dan MELANGGAR Perlembagaan.

Dengan kata lain, kerajaan yang ada sekarang tidak ada kuasa untuk membentangkannya pada hari tersebut. Soal meluluskannya hakikatnya tidak timbul pun!

*HANIPA MAIDIN merupakan Ahli Parlimen Sepang yang juga peguam dan Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional.