Tidak timbul soal Tun M vs Majlis Presiden

Ada orang marah-marah Majlis Presiden Pakatan Harapan sejak peletakan jawatan Dr Maszlee Malik. Itu hak dia hendak marah. Tapi mari lihat apa yang berlaku. Majlis Presiden adalah badan tertinggi parti. Itulah fungsinya. Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad dan ia boleh bincang semua perkara mengenai Pakatan Harapan. Tidak timbul ia adalah khadam pada pengerusi.

Parti adalah parti. Kerajaan adalah kerajaan. Parti menguasai kerajaan di peringkat parti. Parti yang menentukan siapa yang patut jadi ketua kerajaan. Tetapi ketua kerajaan tetap berkuasa penuh sebagai Perdana Menteri. Itu adalah menurut peraturan dan amalan. Bukan kerja Majlis Presiden hendak memantau Perdana Menteri. Walaupun apa saja isu boleh ditimbulkan dalam mesyuarat Majlis Presiden. tetapi keputusan akhir, kritikal atau tidak kritikal berada pada Perdana Menteri.

Tidak timbul soal Perdana Menteri menyuap jawatan seseorang sebagai Menteri Kanan. Istilah suap itu seolah-olah melantik seseorang itu merupakan rasuah. Pelantikan adalah merit yang ditimbangkan oleh Perdana Menteri. Sekali lagi bukan kerja Majlis Presiden memantau Perdana Menteri. Sememangnya wajar diulang konsep prerogatif, sudah sememangnya kuasa Perdana Menteri.

Usah menyamakan PH dengan BN. Tidak ada sesiapa yang dungu dalam hal ini.

Peralihan kuasa ini bukan suatu isu. Terpulang pada Mahathir untuk menyerahkan jawatannya, Tengoklah keadaan. Keadaan politik mungkin berubah. Majlis Presiden sentiasa boleh menyuarakan hal ini, tetapi terpulanglah pada kesepakatan bersama. Bukan soal tegur, tetapi kemukakan usul dan dibincangkan.

Dalam hal ini tidak timbul soal takut hilang jawatan. Pertimbangan perlu dibuat dalam pelbagai sudut. Sememangnya semasa pilihan raya sepakatan telah dibuat Anwar akan menggantikan Mahathir. Akan sampai masanya juga. Ingatlah Mahathir berusia 94 tahun.

Tidak timbul pun bahawa Majlis Presiden lalai. Majlis presiden berulangkali mengadakan mesyuarat dan tidak timbul soal Mahathir menjadi diktator. Semua ahli Majlis Presiden bebas bersuara.

Maszlee letak jawatan atas nasihat Mahathir dan ia bukan merupakan amaran pada Majlis Presiden. Tidak timbul bahawa Majlis Presiden terketar. Semuanya berasaskan prestasi. Tidak timbul soal hilang pendapatan atau jadi miskin. Semuanya ahli politik dan bersedia dengan gelombang menjadi ahli politik.

Perpaduan PH adalah penting dan bukan perkara yang boleh ambil mudah. Tanpa perpaduan, kerajaan pun tumbang. Semua orang ada pendirian. Tetapi dalam hidup berpasukan tentulah kesepakatan perlu ada. Bersuara pun biarlah demi perpaduan.

Beginilah keadaan bila menjadi kerajaan. tentulah berbeza ketika menjadi pembangkang. Kerja sebagai kerajaan ada tanggungjawab. Mereka juga dibayar gaji. tentulah tidak sama masa pembangkang. PH tetap berbeza dengan UMNO dan PAS.

Sememangnya kedudukan Majlis Presiden datang daripada sokongan ahli-ahli parti. PH pula berdiri atas sokongan rakyat. Sebab itulah Majlis Presiden sentiasa membuat pertimbangan untuk kepentingan rakyat. Tidak ada soal bodek dalam hal. Masing-masing menjalankan tanggungjawab sendiri.