Malaysia Dateline

Tidak undang Myanmar ke sidang kemuncak: Asean langgar dasar tidak campur tangan?

Di sebalik berita fokus Plihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan pembentangan bajet tahun depan pada November ini, satu beritayang menggemparkan dan boleh dianggap melakarkan sejarah ialah salah sebuah negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) iaitu Myanmar tidak dijemput menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini.

Media tempatan tidak menjadikan ia sebagai berita besar mungkin tidak mahu banyak spekulasi, keributan atau ingin menjaga hati negara anggota Asean iaitu Myanmar.

Berita yang terpancar di dada media tempatan sekadar menumpukan fokusnya iaitu Mynmar tidak dijemput sebagai sebuah kerajaan tetapi yang dijemput hanya wakil bukan kerajaan. Ini sesuatu yang memalukan Myanmar. Bahkan badan serantau ini tidak mengiktiraf pentadbiran junta pimpinan Jeneral Min Aung Hlaing.

Ia berikutan krisis rampasan kuasa oleh pemimpin Junta Myanmar pada Februari lalu di mana pergolakan dalaman menyaksikan hampir 1,000 orang awam terbunuh akibat kekerasan pasukan keselamatan.

Apa yang menarik bagi saya ialah kenyataan Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah bahawa bagi ASEAN mencadangkan semua pihak berkepentingan – ahli politik, akademik, aktivis dan pegawai – harus menyelami keadaan semasa sebenar bagi memungkinkan blok serantau itu berganjak daripada prinsip tidak campur tangan, ke arah penglibatan konstruktif atau ‘non-indifference’. (Sinar Harian 24 Oktober 2021).

Inilah berita besarnya iaitu keputusan untuk tidak menjemput itu bermakna negara anggota Asean telah berani menyuarakan suatu prinsip “suci” yang tidak disentuh selama ini iaitu prinsip tidak mencampuri urusan dalam negara anggotanya.

Keputusan ini sebulat suara dibuat oleh Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam satu mesyuarat khas, Jumaat lalu.
Ini juga ekoran kepimpinan tentera Myanmar tidak mengizinkan Erywan Yusof utusan khas Asean bertemu dengan semua pihak berkenaan termasuk pemimpin Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) yang digulingkan Aung San Suu Kyi.

Walaupun Saifuddin telah menyatakan secara diplomatik “daripada prinsip tidak campur tangan, ke arah penglibatan konstruktif atau ‘non-indifference’ ini bermakna Myanmar atau negara-negara anggota Asean lain tidak seharusnya menggunakan prinsip dasar tidak campur tangan sebagai kesempatan untuk melakukan apa saja sehingga melanggar hak asasi manusia dalam berdepan dengan rakyat dan musuh politiknya.

Sebelum ini tindakan tentara Myanmar yang melakukan keganasan ke atas penduduk Rohingya sehingga ke tahap tidak mengaku sebagai raykatnya.

Keganasan junta Myanmar ke atas etnik Rohinya membawa mereka menjadi pelarian mencari tempat selamat
dan ia mengemukakan kepada masalah keapda negara-negara jirannya seperti Malaysia dan Thailand.

Ini berlaku apabila etnik Rohinya menjadi pelarian kerana menyelamatkan nyawa mereka setelah kampung halaman musnah.

Tetapi negara anggota Asean sekadar membantah melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan sukar hendak diutarakan dalam sidang mesyuaarat Asean atas dasar tidak campur tangan.

Banyak juga tindakan-tindakan yang boleh ditakrifkan sebagai genosid ke atas etnik Rohingya yang dilakukan junta tentera.

Jika tidak silap sejak penubuhan Asean pada Ogos 1967, dasar tidak campur tangan yang dilakarkan merupakan suatu prinsip setaraf menyamai kedaulatan antara semasa negara anggota Asean.

Bahkan jika diteliti kemapanan Asean dan keluhuran negara anggotanya dengan semangat setia kawan yang tinggi dapat dilihat melalui pendekatan kaedah rundingan yang diamalkan selama ini.

Perkara ini pernah diutarakan Dr Chandra Muzafar yang menyatakan bahawa komiten yang tinggi kalangan negara
anggota terkandung dalam tiga perkara iaitu patuh kepada prinsip tidak campur tangan, masing-masing menghormati setiap negara anggota dan tiada sikap aku lebih kuat atau abang besar dalam kalangan negara anggota Asean.

Setahu saya konsep tidak campur tangan yang dipegang ini megandungi beberapa ciri utamanya iaitu ketua-ketua
kerajaan Asean dilarang mengeluarkan kenyataan terbuka mengkritik negara jiran mereka, para pemimpin Asean dilarang menyokong sebarang gerakan pemberontakan di negara jiran dan negara anggota Asean tidak menganggap kerjasama ekonomi, perdagangan, alam sekitar dan komunikasi sebagai satu bentuk campur tangan.

Kalau tidak silap pendekatan Asean ialah mengunakan keadah musawarah atau lebih dikenali sebagai “The Asean Way” yang mana mengutamakan sifat pragmatis, fleksible, diplomasi tidak formal dalam sesuatu tindakan antara sesama ahli.

Namun jika tidak silap kerjasama ketenteraan antara kerajaan dibolehkan misalnya menumpas kegiatan subversif di sempadan seperti gerakan komunis dan pemberontak dilihat tidak melanggar prinsip tidak campur tangan.

Oleh itu apakah dengan tidak mengundang Myanmar ke Sidang Kemuncak bulan ini menunjukkan Asean telah mengambil pendekatan campur tangan dalam urusan negara anggotanya? Ini bermakna Asean telah melanggar prinsip suci yang dipegang sejak penubuhannya.

Adakah keputusan ini juga disebabkan oleh tekanan daripada Amerika Syarikat (AS) supaya negara anggota Asean
memberikan tekanan kepada Myanmar yang dilihat semakin rapat dengan China?

Kaunselor Jabatan Negara AS, Derek Chollet, pada sidang media melalui telefon dari Jakarta menyatakan Washington sedang berbincang dengan negara anggota ASEAN, Singapura, untuk mengehadkan akses rejim tentera Myanmar kepada kewangan, sebagai sebahagian daripada usaha untuk memberi tekanan kepada ketua juntanya yang sebelum ini dilarang menghadiri sidang kemuncak serantau yang akan datang.

Semasa mengunjungi Singapura, Chollet menyatakan dalam catatan Twitter bahawa beliau telah mengadakan ‘pertemuan yang produktif’ dengan Ho Hern Shin, wakil pengarah urusan Lembaga Kewangan Singapura.

Bagi AS tindakan Asean dan pembebasan ribuan tahanan selepas itu menunjukkan keberkesanan tekanan antarabangsa.

Jika Myanmar masih berdegil adakah ia akan digantung keahliannya? Apa pula pandangan China dengan keputusan Asean ini?

Ini kerana China mempunyai hubungan yang rapat dengan Myanmar dan membuat banyak pelaburan di sana. Beijing pernah membuat kenyataan tiada campur tangan asing terhadap apa yang berlaku di Myanmar. Mereka menyokong kudeta juntantentera malah memberikan pandangan bahawa apa yang berlaku di Myanmar hanyalah satu rombakan kabinet.

Perkembangan semasa ini menunjukkan AS sedang memainkan peranannya sebagai kuasa besar di Asia Tenggara dan Aukus sedang menunjukkan taringnya dalam persaingan dengan China untuk menguasai laluan Selat Melaka dan Laut China Selatan.

Asean harus lebih berwibawa dalam membuat keputusan campur tangan terhadap isu Myanmar dan tidak seharusnya tunduk kepada mana-mana tekanan kuasa besar baik AS atau China mahupun Rusia.


Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)