Malaysia Dateline

Tidak wajar buka sekolah ketika kes semakin tinggi, kata NUTP

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berpendirian adalah tidak wajar sesi persekolah dibuka ketika kes harian semakin tinggi.

Menurut Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock pihaknya telah menerima maklum balas daripada ibu bapa murid dan guru yang tidak berpuas hati dengan arahan pembukaan sekolah itu mulai September ini.

“Oleh itu, pihak NUTP merayu agar pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi pertimbangan khas demi keselamatan dan kesihatan anak murid serta warga pendidik.

“KPM perlu menangguhkan pembukaan persekolahan sehingga ke waktu yang lebih selamat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Katanya, walaupun kadar vaksinasi dua dos sudah melebihi 30%, tetapi ia tidak menjamin keselamatan nyawa rakyat kerana setiap hari kadar kematian melebihi 100 hingga 300 orang.

Justeru, NUTP berharap agar KPM membantu melicinkan proses PdPR dengan memberi kemudahan internet berkelajuan tinggi dan murah serta memberi bantuan internet percuma kepada keluarga B40.

“Warga pendidik pula diberi pakej internet istimewa dan diberi latihan mempertingkat kemahiran guru dalam PdPR,”kata beliau.

Terdahulu, pada 17 Julai lalu KPM memaklumkan sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk sesi bersemuka mulai 1 September ini, dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan sehingga 31 Ogos ini.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19 serta hasil perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).