Malaysia Dateline

Tidak wajar kerajaan rombak subjek Agama di sekolah kebangsaan, kata Puteri Umno

Cadangan atau keputusan kerajaan membabitkan rombakan kurikulum berkaitan subjek Agama amat tidak wajar, kata Ketua Pergerakan Puteri Umno Zahida Zarik Khan.

Beliau berkata, dalam kehidupan manusiawi perlu ada keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi.

“Manusia yang lengkap adalah manusia baik peribadi, berakhlak mulia dan faham agama yang mengawal emosi kita, sementara ilmu sains dan siasah adalah untuk membentuk hala tuju hidup nya.

“Pembelajaran agama juga yang akan membentuk akhlak murid murid agar tidak mudah terpengaruh dengan gelaja sosial, lebih lebih lagi di zaman IT tanpa sempadan hari ini.

“Saya mahu mengingatkan Kerajaan PH dibawah Tun Dr Mahathir agar lebih berhati hati, jangan sewenang wenangnya mengubah kurikulum atau sistem pendidikan sedia ada, fokus bela rakyat dan tunaikan janji janji manifesto PRU14 lalu,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan dibuat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir semalam yang dipetik berkata,Kurikulum di sekolah perlu memberi penekanan untuk menguasai mata pelajaran yang boleh menghasilkan graduan yang berkualiti dan tidak memberi tumpuan semata-mata kepada mata pelajaran agama semata-mata.

Menurut Zahida lagi, beliau tidak faham sebab Dr Mahathir berkata begitu seolah-olah mahu mengubah sistem pembelajaran sedia ada.

“Bukan kearah kebaikan, tapi pada saya ke arah lebih negatif, apabila kurikulum subjek Agama mahu dikurangkan.

“Saya juga hairan dengan cara pentadbiran kerajaan PH kerana terlalu banyak menyentuh dan mahu mengubah bab berkait Agama dan Bangsa Melayu walau baru 7 bulan memerintah, adakah ini baik untuk Malaysia Baharu?”,soalnya.