Kompaun RM2,000 peserta protes #KeluardanLawan, DAP sediakan peguam

Oleh BORHAN AHMAD

Tindakan mengenakan kompaun RM2,000 ke atas tiga aktivis Sekretariat Solidariti Rakyat setelah mereka menyertai protes #KeluardanLawan dianggap sebagai  tidak wajar dilakukan oleh pihak polis kerana mereka mematuhi SOP yang ditetapkan.

Sehubungan itu pasukan guaman DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sedia memberi khidmat pro bono kepada ketiga aktivis ini untuk mencabar kompaun itu di mahkamah, kata Lim Lip Eng, ahli Parlimen Kepong.

Bagi beliau, hukuman denda kompaun ini yang dikeluarkan ke atas peserta protes #KeluardanLawan di Dataran Merdeka pada hari Sabtu lalu disifatkan sebagai perkara yang tidak demokratik dan munasabah atas beberapa alasan.

“Pertamanya, “flash mob” yang dilakukan oleh kumpulan mereka adalah himpunan aman dan ia tidak mengganggu orang awam, ia tidak merosakkan harta benda dan ia juga dilakukan di kawasan lapang yang terbuka.

“Kedua, melihat daripada gambar-gambar aktiviti kumpulan tersebut, individu-individu yang terlibat telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Covid-19 dengan menjaga jarak sosial dan himpunan mereka tidak menyebabkan kesesakan orang ramai.

“Ketiga, walaupun kita sedang berada di tengah-tengah sesebuah wabak, rakyat berhak dan bebas untuk menyuarakan pendapat mereka dan menyertai himpunan aman, selagi SOP dipatuhi,” kata beliau dalam kenyataannya.

Sekiranya operasi perniagaan dibenarkan untuk berjalan jika SOP dipatuhi, himpunan aman yang mematuhi SOP juga wajar dibenarkan, katanya.

Tambahan pula, katanya, dengan Parlimen tidak bersidang, wakil rakyat tidak dapat mengutarakan dan membincangkan masalah yang dihadapi oleh rakyat.

“Rintihan dan keluh kesah mereka sewajarnya didengari, lebih-lebih lagi di kala pandemik yang mencabar ini.

“Oleh yang demikian, protes ini dilihat sebagai salah sebuah cara yang boleh memastikan suara rakyat didengari,” katanya.

Selain itu, khidmat guaman pro bono DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini ditawarkan kepada para aktivis yang telah dikenakan kompaun adalah bagi memastikan tiada layanan dua darjat yang dikenakan ke atas mereka.

“Seperti mana yang diketahui umum, rakyat tidak berpuas hati dengan layanan yang diberikan kepada golongan menteri dan wakil pihak kerajaan apabila mereka didapati melanggar SOP,” katanya.

Kertas siasatan yang dibuka dan perbincangan penghukuman pula lambat akhirnya saman yang mereka dapat juga jumlahnya sedikit jika hendak dibandingkan dengan rakyat biasa yang disaman kerana melanggar SOP, katanya.