Malaysia Dateline

Tidak wajar perkhidmatan awam tetapkan kod pakaian pada orang ramai yang mahu selesaikan urusan

Ahli Parlimen DAP membantah tindakan beberapa agensi perkhidmatan kerajaan yang dikatakan cuba menetapkan kod pakaian kepada orang awam yang mahu datang menyelesaikan urusan.

Ia susulan beberapa aduan disampaikan orang awam mendakwa perkhidmatan kerajaan kini hanya akan melayan urusan orang awam yang mengikuti kod pakaian ditetapkan pejabat.

Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mesti mengambil tindakan segera terhadap ketua jabatan di agensi kerajaan yang bertindak di luar kuasa mereka.

Menurutnya, ketua jabatan tidak mempunyai kuasa untuk membuat peraturan sedemikian dan dengan jelas telah bertindak secara tidak sah dan menyalahi undang-undang.

“Penjawat awam perlu diingatkan bahawa mereka adalah orang yang digaji untuk memberikan perkhidmatan kepada orang awam dan gaji mereka dibayar oleh orang ramai. Mereka bertanggungjawab kepada orang ramai.

“Seorang petani berseluar pendek dan bersinglet atau orang Asli dengan berpakaian tradisional, berhak untuk dilayan oleh penjawat-penjawat awam.

“Seorang miskin yang tidak mampu membeli seluar panjang juga berhak untuk dilayan oleh penjawat awam,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa fungsi penjawat awam adalah sebagai pemberi khidmat kepada orang ramai dan penjawat awam tidak akan boleh menjadi tuan kepada orang ramai.

Perkhidmatan awam mesti diberikan kepada semua orang melainkan seseorang itu menyebabkan kacau ganggu di tempat awam, yang merupakan satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun katanya, jika seseorang itu menimbulkan kekacauan ditempat awam, kuasa untuk bertindak terhadap individu tersebut adalah pada pihak polis dan bukannya pegawai penjawat awam yang lain.

Beliau mengulangi gesaannya agar Ketua Setiausaha Negara perlu mengingatkan ketua-ketua jabatan supaya menumpukan perhatian mereka dalam memperbaiki banyak lagi kelemahan-kelemahan dalam jabatan masing-masing.

Baca juga: Kamarul Zaman dilantik pegawai khas PMO sejak Disember tahun lalu

Baca juga: Taylor Swift terima pengiktirafan Doktor Kehormat di Universiti New York