Malaysia Dateline

Tidak wajar salahkan Anwar seorang dengan kekalahan PH, kata MP AMANAH

Ahli Parlimen Sepang Hanipa Maidin berkata, menyalahkan hanya seorang individu sahaja sedangkan sebarang keputusan PH bukan bersifat keputusan tunggal sebaliknya, ia adalah keputusan kolektif.

“Jika anda tanya pendapat saya, adakah DSAI wajar disalahkan dan diminta berundur dari memimpin PH, maaf, saya tidak mampu untuk bersetuju dengan anda, sekurang kurangnya untuk masa kini.

“Bagi saya, maaf cakap, adalah tidak adil,” katanya yang menerima mesej meminta beliau bersetuju untuk menyalahkan Anwar dengan kekalahan PH.

Bagaimanapun katanya, sesiapa pun berhak mengkritik hatta sepedas mana pun ke atas para pimpinan PH termasuk Anwar akibat kekalahan tersebut.

“Ya, dengan hormat, agak “fair” untuk mengatakan bahawa DSAI ada “saham” bagi kekalahan PH dan kesemua calon PKR di Melaka, tapi harus dingat segala keputusan PH bukan dilakukan oleh DSAI seorang sahaja,” katanya lagi.

Kekalahan PH agak menyakitkan penyokong-penyokongnya khususnya ke atas semua calon PKR yang bertanding di PRN Melaka.

Hanipa turut memberitahu beliau tidak tersinggung jika ada yang melabelkan beliau pro Anwar kerana ia adalah satu kritikan yang adil terhadapnya kerana mempertahankan Anwar.

“Sejak dahulu, saya sentiasa berusaha untuk mendidik diri saya cuba berlaku adil kepada sesiapa pun hatta sebenci mana pun saya kepada sesiapa pun.

“Sudah tentu sebagai insan yang lemah pendirian saya juga tidak sunyi dari kelemahan.

“Saya, secara peribadi, masih merasakan PH masih perlukan khidmat DSAI bersama kepimpinan PH yang sedia ada,” kata beliau.

Justeru katanya, jika semua pihak benar-benar jujur perlu bersikap adil tentang pelbagai bentuk ketidakadilan yang mungkin tidak disedari juga banyak kali dilakukan ke atas Anwar.