Malaysia Dateline

Tidak wujud isu tiada persefahaman dalam PH

Parti gabungan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa tidak sepakat dan sering bercakaran, boleh dikatakan ia sekadar persepsi dan andaian tidak benar sesetengah pihak.

Malah, ia sama sekali tidak melambangkan wujudnya konflik dalaman sesebuah parti, lebih-lebih lagi apabila mereka mengamalkan demokrasi yang menerima perbezaan pendapat pelbagai pihak.

Sany Hamzan

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Sany Hamzan berkata, biarpun ada ketika PH mengeluarkan pendapat yang bercanggah antara satu sama lain, namun pada akhirnya keputusan bersama tetap akan dicapai dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH.

Jelasnya, ia sekaligus menangkis kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mendakwa parti gabungan dalam PH tidak sehaluan, dan dengan itu tidak seharusnya mendapat undi sokongan dari penduduk Tanjung Piai.

“Semua keputusan pimpinan PH dibuat dalam mesyuarat Majlis Presiden PH dan juga dalam mesyuarat kabinet.

“Kalau ada kenyataan yang dikeluarkn oleh pimpinan PH di luar keputusan Majlis Presiden dan kabinet, itu adalah pandangan peribadi.

“Itu yang saya sebut, bila pimpinan dah buat keputusan, semua ahli dan pimpinan yang lain akan akur bila timbul sesuatu isu. Tak timbul soal tak ada kesefahaman dalam PH,” katanya kepada Malaysia dateline.

Terdahulu, Hadi  dalam ceramahnya di Tanjung Piai dipetik berkata, walaupun Pas dan MCA berbeza pendapat dan saling mengkritik antara satu sama lain, namun bukan dalam satu pakatan atau gabungan.

Malah, beliau membandingkan pergolakan yang berlaku dalam PH yang menunjukkan seolah-olah tiada persefahaman antara parti komponen dalam parti kerajaan itu.

“Kita menyedari PH yang banyak parti-parti tidurnya sebantal, mimpinya lain-lain. Tidak ada persefahaman, bergaduh dalam mesyuarat Agung parti.

“Bagaimana nak perintah negara sampai satu penggal. Dengan tanda ini marilah sama-sama buat perubahan,” katanya.