Malaysia Dateline

ULASAN:Tidakkah jeritan, kata-kata ‘Unparliamentary’ menghina Dewan?

Menyoroti hari pertama sesi Parlimen yang bersidang pada 19 Disember, rakyat Malaysia dipertontonkan sikap buruk Ahli-Ahli Parlimen yang menjerit dan mengilai sesama mereka.

Yang lebih mendukacitakan ialah ia dimulakan oleh Ahli Parlimen yang berpengalaman seperti Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau-PN) dan kemudiannya disambut oleh Datuk Awang Solahudin (Pendang-PN) dan Sany Hamzan (Hulu-Langat-PH).

Shahidan bukannya orang baru dalam politik. Beliau orang lama dalam Umno-BN yang baru-baru ini mewakili Pas dan Perikatan Nasional apabila digugurkan daripada bertanding oleh Umno.

Persoalan yang timbul ialah apakah orang lama di Dewan Rakyat tidak tahu menjaga adab pekerti ketika berhujah di dewan?

Sany dan Howard Lee (Ipoh Timur-PH) boleh saja dimaafkan kerana mereka orang baru anggota Dewan Rakyat berbanding Shahidan. Begitu juga dengan Awang, Ahli Parlimen baru.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Tambun-PH) sudah pun menzahirkan keinginannya untuk melihat sesi debat yang berhemah di Dewan Rakyat.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dipertanggungjawabkan untuk memantau perkara berkenaan. Begitu juga Ketua Whip setiap parti bertanggungjawab untuk perkara ini.

Perkara di atas turut dibincangkan oleh masyarakat melalui platform media sosial seperti Twitter dan TikTok Live.

Ada yang berpandangan bahawa Speaker Dewan Rakyat yang baharu dilantik Datuk Johari Abdul tidak setegas Speaker terdahulu, Tan Sri Mohd Ariff Md Yusoff yang juga mantan hakim.

Ariff merupakan Speaker yang dilantik ketika pentadbiran Pakatan Harapan selama 22 bulan.

Berbanding dengan sesi Parlimen di sesetengah negara, sesi Dewan Rakyat tidaklah begitu teruk. Di sesetengah negara ada Ahli Parlimen yang bukan sahaja bertegang urat malahan berbalas tumbukan kerana gagal mengawal emosi.

Ini tidak bermakna sesi Dewan Rakyat kita tidak boleh ditambahbaik lagi. Di Dewan Rakyat, setiap ahli bebas bersuara tanpa bimbang terhadap risiko saman fitnah.

Seringkali rakyat terpaksa mendengar penggunaan perkataan yang kurang beradab – ‘unparliamentary’ yang dituturkan oleh wakil rakyat.

Jika dibandingkan dengan mahkamah, undang-undang menghina mahkamah lebih jelas dan terperinci. Sekiranya permohonan maaf tidak direkodkan, seorang peguam boleh dipenjarakan atas kesalahan menghina mahkamah.

Di Dewan Rakyat, anggota Dewan hanya perlu menarik balik kata-kata yang diucapkan itu. Ruangan inilah yang banyak digunakan oleh Ahli Parlimen terdahulu untuk menggunakan perkataan yang unparliamentary.

Sebagai perbandingan, ada negara seperti India yang mempunyai senarai perkataan yang dianggap unparliamentary. Di sini, pengggunaan perkataan yang dianggap unparliamentary mencakupi bidang kuasa Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Persoalannya sekarang apakah akan ada usaha untuk memurnikan sesi Dewan Rakyat ini dengan peraturan yang lebih tegas dalam perkara ini? Antara perkara yang boleh dilakukan ialah mewujudkan senarai perkataan unparliamentary.

Jawatankuasa Pilihan Hak dan Kebebasan perlu diperkuatkan agar hukuman setimpal boleh dikenakan ke atas ahli Dewan Rakyat yang kurang beradab ketika berucap dan berbahas.

Ini kerana mengucapkan perkataan yang ‘unparliamentary‘ dan menjerit mengilai sama dengan perbuatan menghina Dewan mulia di mana dasar dan undang-undang digubal.

Baca juga: Menang undi percaya petanda positif PM Anwar diterima semua pihak