Malaysia Dateline

‘Tidakkah YB sedar nafas rakyat juga makin sesak dan terganggu, Kamarul bidas Amzad

Senator Raja Kamarul Bahrin Shah membidas kenyataan Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Amzad Hashim, yang cuba meraih simpati  menyatakan masalah sistem permohonan vaksin tidak berfungsi seperti sepatutnya kerana sistem tersebut setelah  dikenakan stress test “menjadi sesak dan terganggu” kerana permintaan yang tinggi

Menurut Kamarul,  pada ketika ini nafas rakyat juga “menjadi sesak dan terganggu”  atas kegagalan dan kelemahan kerajaan yang lembab walaupun mempunyai 70 berstatus menteri, iaitu  bilangan menteri dan timbalan menteri tertinggi di dunia.

“Saya ingin menyatakan disini, kalau Yang Berhormat “membela” sistem yang dibayar puluhan juta ringgit “menjadi sesak dan terganggu”, tidakkah YB juga bersimpati rakyat tidak berdosa ini.

“Dengan prestasi lemah para menteri kabinet , menjadi punca ramai rakyat kecewa dengan masalah  yang berterusan kerana kegagalan mengawal pendemik Covid 19 ini,” kata beliau.

Pengerusi AMANAH Terengganu itu juga berkata, kerajaan telah berbelanja berbillion ringgit untuk vaksin tetapi atas pengurusan yang amat lembab dan tidak terurus ianya dilihat telah menyusahkan rakyat.

Apatah lagi tambahnya, sebahagian besar vaksin hanya akan sampai akhir tahun ini sementara negara jiran seperti Indonesia dan Singapura jauh meninggalkan Malaysia.

“Bukan sahaja lambat tiba tetapi yang sudah sampai pula proses suntikan vaksin begitu kelam kabut yang mengenakan tambahan stress keatas mereka yang sudah tertekan di pusat vaksin yang kelam kabut pengurusannya.

“Walaupun Menteri MOSTI  Khairi Jamaluddin dan Timbalannya Amzad Hashim kedua duanya yang agak masih muda dan terpelajar, mereka kelihatan tidak berupaya memberi kepimpinan yang cekap dan terurus tetapi banyak memberi alasan lemah dan harapan yang tidak kesampaian.

Terdahulu, Amzad meminta rakyat faham dan memaafkan sistem bernilai puluhan juta yang tidak berfungsi dengan baik kerana stress hingga  “menjadi sesak dan terganggu”.

“Siapa pula yang akan bersimpati dengan rakyat yang nafas “menjadi sesak dan tercungap cungap nazak” kerana kelemahan  dan kedegilan kerajaan yang tidak mendengar nasihat pihak profesional, termasuk membuka semula Parlimen supaya suara 222 ahli Parlimen yang dipilih yang boleh menyumbang idea bersama mengatasi krisis Covid 19.

“Sudah nyata 70 orang yang bertaraf menteri dan timbalan menteri bersama Muhyiddin bukanlah dari kalangan berwibawa untuk menyelamatkan kita dan kepimpinan baru negara diperlukan.

“Sehingga itu, bukan sahaja sistem vaksin yang disebut Amzad akan “menjadi sesak dan terganggu”, tetapi lagi banyak nafas rakyat Malaysia juga akan makin bertambah “menjadi sesak dan terganggu”,” katanya.

Ramai pihak meluahkan perasaan tidak puas hati dan berang kerana sukar mengakses sistem pusingan kedua tempahan slot janji temu vaksin AstraZeneca untuk rakyat Malaysia berusia bawah 60 tahun yang dibuka baru-baru ini.

Kebanyakan mereka mengadu gagal memperoleh akses sejak tempahan dibuka mulai jam 12 tengah hari bagaimanapun  tidak sampai dua jam, semakan mendapati sistem tempahan itu ditutup.