Tiga Adun BN sokong speaker selepas berbincang dengan Umno

Tiga Adun BN sokong speaker selepas berbincang dengan Umno

Keputusan tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) yang menyokong pelantikan Speaker bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah yang dicalonkan oleh Pakatan Harapan (PH) dibuat selepas hasil perbincangan bersama Umno negeri dan pusat.

Adun Guar Chempedak Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat restu daripada kepimpinan Umno negeri dan pusat setelah mengambil kira pelbagai aspek.

“Saya tahu ada yang marah apabila kita beri sokongan ini tetapi kita bukan masuk parti lain, kita masih bersama Umno. Keputusan dibuat demi kepentingan rakyat di negeri ini dan kita mahu elak kerja-kerja tidak produktif seperti perlu mengadakan pilihan raya negeri (PRN).”

“Jadi, sebelum menghentam keputusan yang dibuat ini semua pihak perlu berfikir secara rasional dan bukannya menggunakan emosi. Selain itu, perlu guna kebijaksanaan dalam membuat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelantikan Speaker Dun Kedah di Wisma Darul Aman¬† hari ini, lapor Bernama.

Dalam pada itu, Datuk Suraya Yaacob yang merupakan Adun Sungai Tiang berkata keputusan untuk menyokong pelantikan Speaker tersebut tidak menggambarkan bahawa BN menyokong kerajaan sebaliknya dibuat bagi memastikan pentadbiran kerajaan berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

“Keputusan ini diambil selepas berbincang dan mendapat kebenaran daripada parti, jadi saya harap semua penyokong Umno dapat bersabar dan memahami keadaan sebenar. Jangan bimbang, kami tetap akan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.

Adun Bandar Baharu Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata persetujuan menyokong pelantikan Speaker tersebut adalah bagi memastikan kestabilan parti berikutan baru sahaja mengadakan pemilihan pada 30 Jun lepas.

“Kita setuju sebab hendak elak masalah yang boleh mengganggu gugat kestabilan parti (Umno) dan kerajaan, jadi tidak timbul isu sokongan kerana bimbang hilang kerusi apabila pilihan raya negeri (PRN) dibuat,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata Pas menghormati keputusan yang telah dibuat oleh semua Adun dalam pemilihan Speaker dan menerimanya dengan hati yang terbuka.

“Kita terima keputusan tersebut tetapi di sini terjawabnya tuduhan sebelum ini yang mengatakan bahawa Pas berpakat dengan BN dan Umno…jadi saya minta jangan lagi buat tuduhan tidak berasas kepada Pas.”

“Kita akan jadi pembangkang yang akan sentiasa beri teguran dan pandangan bagi memastikan perjalanan kerajaan negeri lancar. Selain itu, 15 Adun Pas juga telah dibahagikan untuk memantau portfolio yang dipegang oleh Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco),” katanya.