Malaysia Dateline

Tiga bekas menteri AMANAH pernah ditawar jawatan

Tiga bekas menteri dari AMANAH dikatakan pernah ditawarkan jawatan sama dalam kerajaan pintu belakang, Perikatan Nasional (PN).

Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, Ustaz Zolkharnain Abidin mendedahkan mereka bagaimanapun menolak tawaran tersebut.

“Sebenarnya, tiga orang bekas menteri PH (AMANAH) ditawar jawatan yang sama dalam kerajaan PN.

“Semuanya menolak,” tulis Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) itu di Facebook.

Pendirian tiga pemimpin AMANAH tersebut dilihat menggambarkan prinsip dan setiakawan mereka terhadap permuafakatan dalam PH.

Difahamkan mereka terbabit ialah Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang merupakan Timbalan Presiden AMANAH; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (Naib Presiden AMANAH) dan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad merangkap Pengarah Strategi AMANAH; Nasional.

Sikap pemimpin senior terbabit berbeza dengan pimpinan pelapis iaitu bekas Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang juga mantan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong itu mengisytiharkan keluar daripada parti pada 9 Mac lalu sekali gus menjadi ADUN Bebas dan menyokong PN Perak.