Malaysia Dateline

Tiga buah sekolah terima bantuan koperasi SKM

Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam (SMKTBM) , Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Jaya (SMKTJ) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Balik Pulau (SMKSBP), telah dipilih sebagai penerima bantuan pembangunan koperasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) semalam.

Dalam majlis tersebut SMKTBM telah menerima bantuan sejumlah RM30,000.

Manakala SMKTJ dan SMKSBP masing-masing menerima bantuan berjumlah RM20,000 setiap sekolah.

Menurut Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain, bantuan yang diberikan adalah sebagai sokongan bagi menggalakkan koperasi sekolah melebarluaskan lagi skop perniagaan mereka dalam bidang yang lebih kompetitif.

Katanya lagi, koperasi sekolah tidak hanya tertumpu pada penjualan buku semata-mata, sebaliknya ia boleh mencapai perolehan perniagaan yang lebih kompetitif.

“SKM menggalakkan koperasi sekolah yang ada untuk mempelbagaikan aktiviti mereka dengan pelbagai jenis perniagaan selain penjualan buku sahaja.

“Mereka boleh mempelbagaikan aktiviti termasuklah dengan kedai dobi, hotel bajet dan penginapan serta seumpamanya.

“Ia boleh dilaksanakan dengan penyediaan pelan dan perancangan perniagaan yang lebih baik, ” tegasnya lagi.

Selain itu kata Abdul Halim lagi, khidmat e-dagang juga harus ditingkatkan seiring dengan pembangunan ekonomi digital yang lebih baik dan berinovasi.

Majlis yang telah diadakan di SMKSBP tersebut turut dihadiri oleh Pengarah SKM Pulau Pinang, Zakaria Mat Jusoh, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Suhaimi Saidin serta Adun Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail.