Malaysia Dateline

Tiga bukti langgar ketetapan parti, Nazri tuntut Umno gantung jawatan Zahid

Selepas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendesak kerajaan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mendesak Biro Disiplin Umno untuk segera menyiasat Presiden partinya itu.

Menurut Nazri, Biro Disiplin dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno perlu mempertimbangkan keputusan menggantung jawatan disandang Ahmad Zahid serta-merta susulan tindak-tanduk terkini pemimpin itu yang didakwa melanggar ketetapan parti.

Beliau berkata, tindakan Zahid yang memberi kata dua kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi mendesak sidang Parlimen dibuka dalam tempoh 14 hari, tanpa merujuk kepada MKT dan ahli-ahli Parlimen Umno terlebih dahulu adalah bukti terkini yang jelas menunjukkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu melanggar ketetapan parti.

“Sepatutnya MKT Umno dan Biro Disiplin parti perlu menggantung jawatan Ahmad Zahid serta-merta.

“Umno bukan hak eksklusif Zahid tetapi hak lebih 3.6 juta ahli parti,” dipetik Sinar Harian hari ini.

Dua lagi bukti Zahid melanggar ketetapan Umno, kata Nazri, ialah tindakan mengutuskan surat menyatakan sokongan kesemua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk memilih Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baharu kepada Yang di-Pertuan Agong pada tahun lalu, tanpa pengetahuan majoriti ahli Parlimen berkenaan.

“Bukti kedua pula adalah kesahihan rakaman audio perbualan beliau (Zahid) dengan Anwar berkait Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020), sedangkan keputusan PAU sudah menetapkan pendirian ‘No Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), No Anwar dan No DAP’,” katanya.

Tambahan masa

Mengulas lanjut, tuntutan sidang Parlimen diadakan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh 21 Jun, Mohamed Nazri berkata, pelbagai proses perlu dipenuhi jawatankuasa khas persidangan Parlimen bagi memastikan ia memenuhi objektif persidangan.

“Pada saya, sidang Parlimen perlu dilaksanakan seperti biasa dengan proses perbincangan bukan sahaja merangkumi Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, bahkan juga segala aspek lain yang difikirkan mustahak kepada rakyat.

“Untuk membolehkan kerajaan memenuhi proses pelaksanaan sidang Parlimen, pastinya sedikit tambahan masa diperlukan dengan saya menjangkakan tempoh paling terdekat sidang Parlimen diadakan adalah pada pertengahan bulan Ogos,” tambahnya lagi.

Nazri yang pada 12 Januari lalu mengumumkan menarik balik sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini telah menggesa Zahid melepaskan jawatan atas alasan bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak lagi mempunyai kreadibiliti untuk memimpin Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Bahagian Umno Padang Rengas itu berkata, (Datuk Seri) Mohamad Hasan sebagai orang nombor dua dalam parti itu boleh mengambil alih kepimpinan kerana imej Zahid sudah tercalar dengan pelbagai tuduhan di mahkamah.