Tiga calon PRK Cameron Highlands tandatangani ikrar Bersih 2.0

Tiga calon PRK Cameron Highlands tandatangani ikrar Bersih 2.0

Tiga daripada empat calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands hari ini menandatangani Ikrar Sokong Pilihan Raya Bersih dan Adil yang disediakan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).

Mereka adalah calon Pakatan Harapan M.Manogaran dan dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki Salehuddin Ab Talib dan petani Wong Seng Yee.

Pengerusi Bersih 2.0 Thomas Fann berkata ikrar itu memperlihatkan komitmen calon-calon yang mahukan sistem pilihan raya telus.

“Sehubungan itu, kami berharap PRK Cameron Highlands akan meletakkan standard baharu, kerana kerusi itu kosong disebabkan rasuah. Kami juga bercadang untuk mengadakan sesi debat antara semua calon tidak lama lagi dan ketika ini menunggu beberapa pengesahan,” katanya pada sidang media di Hotel Heritage, di sini.

Ketika ditanya mengenai ketidakhadiran calon Barisan Nasional (BN) Ramli Mohd Nor ke majlis menandatangani ikrar itu, Fann berkata Ramli sedia maklum mengenai perkara itu namun tidak hadir kerana beliau terikat dengan jadual aktiviti yang padat.

“Kami telah menghubungi calon BN, bagaimanapun jadualnya tidak membolehkan beliau datang. Beliau tidak membantah ikar yang ditandatangani ini, jadi kami akan berusaha mendapatkan beliau untuk menandatanganinya. Kami beri beliau seminggu untuk menandatangani ikrar ini. Kami akan maklumkan kepada media sama ada beliau tandatangan atau tidak,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 22 Jan sebagai hari undi awal dan 26 Jan sebagai hari pengundian bagi pertandingan empat penjuru itu.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

– BERNAMA