Malaysia Dateline

Tiga cedera terkena renjatan elektrik di Kamunting

Tiga pekerja sebuah syarikat kontraktor pemasangan kabel cedera dan melecur akibat terkena renjatan elektrik di hadapan sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Kamunting dekat sini pagi ini.

Mangsa Ahmad Nor Fitri Saidin, 21; G, Muniandy, 39, dan Mohd Syawal Che Rose, 30; masing-masing melecur antara 10 hingga 50 peratus di beberapa bahagian anggota badan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting Muhamad Yassir Adnan berkata ketika kejadian kira-kira pukul 11  pagi itu, semua mangsa sedang menggali lubang untuk pemasangan kabel sebuah syarikat utiliti.

“Ketika sampai didapati ketiga-tiga mangsa cedera dan telah diberikan rawatan oleh Perkhidmatan Perubatan Kecemasan sebelum ambulans tiba,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Muhamad Yassir berkata semua mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk mendapatkan rawatan.

— BERNAMA