Malaysia Dateline

Tiga ditahan bersama dadah bernilai RM167,895 di Butterworth

Tiga individu, termasuk sepasang kekasih yang dipercayai pengedar dadah, ditahan polis bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM167,895 dalam serbuan di sebuah apartmen di Taman Tanjung Indah, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata bertindak  hasil maklumat  dan risikan yang dijalankan, polis menyerbu rumah itu pada pukul 10.20 malam dan menahan dua lelaki serta seorang wanita berusia 23 hingga 26 tahun.

“Semasa serbuan itu, tiga individu dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah tersebut berada di dalam rumah berkenaan dan hasil pemeriksaan di dalam rumah itu, polis merampas syabu seberat 750.9 gram (g), ketamin (340g), pil eramin 5 (230 biji) dan 23 biji pil ekstasi.

“Semua dadah yang dirampas itu bernilai RM167,895 dan ia dipercayai untuk pasaran di sekitar Butterworth dan Mak Mandin terutama di pusat-pusat hiburan,” katanya di sini hari ini.

Katanya berdasarkan siasatan awal, suspek terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak beberapa bulan lepas dan menjadikan apartmen yang disewa seorang daripada mereka itu sebagai tempat menyimpan serta membungkus semula dadah berkenaan.

Noorzainy berkata ujian air kencing mendapati tiga orang itu positif dadah dan mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Sementara itu, katanya polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun dipercayai pengedar dadah dan merampas syabu bernilai RM11,400 dalam serbuan di sebuah rumah di Lorong Bunga Raya 20, di sini pada Isnin.

“Dalam serbuan pukul 7.30 malam itu, polis merampas tiga paket syabu seberat 76 gram dan siasatan mendapati lelaki tersebut mendapatkan bekalan dadah daripada sindiket sebelum membungkusnya dalam kuantiti kecil serta menjual kepada pelanggannya di sekitar Butterworth,” katanya.

Beliau berkata lelaki yang tidak bekerja itu dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak beberapa bulan lepas dan dia turut positif dadah.

Katanya kedua-dua kes itu disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihaknya sentiasa menjalankan operasi narkotik yang berterusan secara agresif dalam usaha membendung kegiatan pengedaran dadah.

— BERNAMA