Malaysia Dateline

Tiga hari berturutan lebih 800 kes baharu Covid-19

Dr Noor Hisham Abdullah

Sebanyak 865 pesakit Covid-19 dicatatkan hari ini sekali gus menyaksikan kes harian melebihi 800 kes sejak tiga hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara ini mencecah 21,363 kes dengan 7,456 kes aktif atau pesakit sedang dirawat.

“Sabah kekal mencatatkan pertambahan kes baharu tertinggi iaitu 643 kes atau 74.3 peratus daripada jumlah kes baharu, manakala kawasan Lembah Klang pula 119 kes, termasuk 101 kes di Selangor, enam kes di Kuala Lumpur dan tiga kes di Putrajaya,” katanya.

Bercakap dalam sidang media harian Covid-19, di Putrajaya hari ini beliau berkata,
sebanyak 455 kes sembuh menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 13,717 kes bersamaan 64.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Sabah mencatat kes pulih Covid-19 paling tinggi sebanyak 226 kes diikuti Selangor (107 kes), Kedah (97 kes) dan Johor (13 kes) manakala Terengganu, N. Sembilan, Sarawak, Pahang dan Wilayah Persekutuan Labuan masing-masing kurang lima kes pulih.

Dalam masa sama, sehingga jam 12 tengah hari ini tiga kematian dilapor melibatkan dua warganegara dan satu bukan warganegara dengan ketiga-tiganya di Sabah.