Malaysia Dateline

Tiga hospital di Sarawak guna khidmat ‘First Reponder’

Tiga buah hospital utama di Sarawak bakal menggunakan perkhidmatan ‘First Responder’ bermula tahun hadapan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Jamilah Hashim dalam satu kenyataan dikeluarkan di Kuching berkata, tiga buah motosikal akan ditempatkan masing-masing di Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching, Hospital Sibu dan Hospital Miri.

Beliau berkata, peranan utama ‘First Responder’ ialah untuk membolehkan anggota kesihatan sampai ke tempat berlakunya kecemasan yang dimaklumkan oleh orang awam menerusi ‘Medical Emergency Coordinating Centre’ (MECC) atau 999, bagi pengurusan bantuan pertolongan cemas yang asas.

“Projek rintis di negeri ini merupakan fasa pertama dan ia adalah inisitif yang dijalankan bagi mengurangkan tempoh masa respons ambulans untuk kes-kes kecemasan di Sarawak.

“Ia turut disusuli dengan bantuan ambulans, sekiranya terdapat keperluan membawa pesakit ke hospital,” ujarnya.

Jelas Dr Jamilah, setiap motosikal dilengkapi dengan keperluan asas pertolongan cemas yang mematuhi peraturan keselamatan jalan raya.

“Menerusi inisiatif ini, kita berharap agar kualiti perkhidmatan rawatan pra hospital yang disampaikan kepada orang awam di negeri ini akan dapat dipertingkatkan.

“Sekiranya projek berkenaan menunjukkan kejayaan, maka kita bercadang untuk menambah lagi bilangan motosikal bagi hospital yang terlibat,” tambahnya lagi.