Malaysia Dateline

Tiga inisiatif Agrobank untuk mangsa banjir

Agrobank menawarkan penjadualan dan/atau penstrukturan semula pembiayaan (R&R) dan tawaran moratorium sehingga enam bulan sebagai sokongan membantu pelanggan yang terkesan dengan kejadian banjir.

Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, dua inisiatif itu terkandung dalam Pelan Bantuan Banjir khusus buat pelanggan-pelanggan yang terkesan.

Selain itu, Agrobank turut memberikan pengecualian caj bagi penggantian kad ATM dan buku simpanan yang telah musnah akibat banjir.

Bagi pelanggan yang layak, mereka boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan yang ditawarkan ini menerusi borang yang disediakan di laman sesawang Agrobank.

Beliau berkata demikian semalam selepas lawatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu ke ibu pejabat Agrobank.

Dalam hal berkaitan, Mohamad menerusi Facebook rasmi beliau memaklumkan bahawa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) sangat komited untuk membantu para petani, pekebun, penternak dan nelayan mendapatkan bantuan kewangan bagi mengembangkan perniagaan agar dapat mencapai keterjaminan makanan negara.

“YB Menteri amat serius mahu memastikan keterjaminan makanan negara dapat ditingkatkan dan negara dapat mengurangkan kebergantungan kepada produk import,” katanya.

Baca juga ‘Tak salah menasihati diri sendiri’ – ‘Pertikaian Nasional’ diperli belum ‘move on’