Malaysia Dateline

Tiga isu babit KPM, menteri harus bertegas, kata Nik Abduh

 

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) digesa agar lebih tegas dalam menangani isu membabitkan kementerian itu sejak mutakhir ini.

Ahli Parlimen Pasir Putih Nik Mohamed Abduh Nik Abd Aziz berkata, tiga insiden itu mengambarkan ada kelompongan dalam pemantauan pentadbiran di kementerian itu.

“Tiga insiden besar yang berlaku menunjukkan beberapa kelompangan (vacum) terhadap longgarnya pemantauan terhadap sektor pendidikan negara.

“Bermula dengan kes debat Piala Tun Razak yang memaparkan usul pendebatan yang kontroversi, graduan yang biadap dalam majlis konvokesyen sebuah universiti awam serta penyebaran komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang mempunyai unsur propaganda melampau.

“Apa yang lebih membimbangkan adalah keterlibatan ahli politik DAP yang jelas menyokong insiden-insiden berkenaan khususnya terhadap graduan yang telah melakukan provokasi di atas pentas konvokesyen serta tidak kurang juga 43 pimpinan akar umbi dan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP yang membantah larangan penyebaran komik berkenaan di sekolah-sekolah,”ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Nik Abduh turut berkata, kesemua insiden itu bertentangan dengan falsafah pendidikan negara dan ujarnya lagi, lebih malang lagi ia menyentuh perkara-perkara sensitif negara.

“Apalah guna sebuah kebebasan jika tiadanya nilai kesopanan dan kesusilaan yang menjadi rukun kepada negara.

“Amat menyedihkan bahawa tangan-tangan politik kotor yang membelakangi keluhuran budi pekerti kelihatan secara nyata mempromosikan kebebasan tanpa batas yang mencemarkan proses pembinaan sahsiah anak bangsa kita.

“Inilah akibat kegagalan pihak kerajaan mendefinisikan maksud hak kebebasan bersuara dengan sempurna. Ia menjadi tiket kepada perlanggaran terhadap nilai-nilai murni dan tinggi yang telah sekian lama kita junjung,” ujarnya.

Justeru beliau menyarankan agar pihak kementerian lebih berwaspada dan bersikap tegas terhadap anasir-anasir yang boleh meruntuhkan keutuhan sosial dalam negara terutama dalam sektor pendidikan.