Malaysia Dateline

Tiga lagi Anjung Kasih akan beroperasi tahun depan, kata Wan Azizah

Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail

Sebanyak tiga buah Anjung Kasih dijangka siap dibina tahun depan menjadikan 14 tempat penginapan percuma untuk waris pesakit bakal beroperasi di hospital-hospital rujukan seluruh negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata tiga Anjung Kasih tersebut dibina di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar; Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru; dan Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu.

“Tanggungjawab menjaga pesakit di hospital boleh menjadi satu kesukaran bagi waris yang kurang berkemampuan dari sudut kewangan sehingga ada yang tidur bergelimpangan di ruang lobi hospital.

“Kerajaan prihatin terhadap situasi ini dan cuba meringankan beban mereka dengan menawarkan penginapan percuma supaya mereka dapat bersama semasa rawatan untuk pesakit dijalankan,” katanya semasa merasmikan Better Brighter Anjung Kasih YKN @ Hospital Serdang, hari ini lapor Bernama.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tan Sri Leo Moggie.

Selain di Hospital Serdang, Wan Azizah berkata sebanyak lapan Anjung Kasih telah beroperasi iaitu di Hospital Selayang, Selangor; Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh dan Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan, Pahang; Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh, Perak; Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan; dan Hospital Sibu, Hospital Umum dan Hospital Miri, Sarawak.

Katanya dua lagi telah siap dibina dan bakal beroperasi menjelang hujung tahun ini di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Tuanku Fauziah Kangar, Perlis.

“Sejak diwujudkan pada tahun 2006 anjung kasih di seluruh negara telah memberi manfaat kepada lebih 54,000 waris pesakit,” katanya.

Mengenai Better Brighter Anjung Kasih YKN @ Hospital Serdang, Dr Wan Azizah berkata projek hasil kerjasama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dengan TNB itu bertujuan menaik taraf tempat penginapan tersebut serta menambah kapasitinya yang mampu menempatkan 102 orang pada satu masa berbanding 26 orang sebelum ini.

Menurutnya pelbagai kemudahan lain turut disediakan untuk keselesaan penghuni termasuk surau, ruang rehat, ruang cucian dan jemuran, ruang makan, bilik kaunseling dan bilik sukarelawan.

Dr Wan Azizah berkata kos menaik taraf bangunan tersebut ditangung oleh TNB, termasuk kos penyelenggaraan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam pada itu, beliau berharap waris pesakit yang menginap di Anjung Kasih dapat menjaga kemudahan yang disediakan dengan baik bagi memastikan keselesaan penghuni lain pada masa akan datang.