Malaysia Dateline

Tiga lagi ditahan, seorang diburu kes hina Islam, Nabi

 

Polis Diraja Malaysia (PDRM), menahan tiga lelaki dan masih memburu seorang lagi berhubung kes penghinaan terhadap agama Islam, Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Saidatina Aisyah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, empat individu terbabit dikenal pasti kerana memberi komen jelik menerusi akaun Twitter dan Facebook masing-masing yang menjadikan agama Islam dan Nabi Muhammad SAW sebagai topik sasaran.

Beliau berkata, pihaknya menahan suspek pertama di Labuan, yang membuat komen jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW menerusi akaun Facebook.

“Suspek yang bernama Mohd Sharulnizam Stanley Sigan, 29 tahun kini direman empat hari hingga 7 Mac depan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fuzi menjelaskan, pihaknya menerima sebanyak 15 laporan polis, berkenaan posting penghinaan yang dimuat naik dalam akaun Facebook menggunakan nama ‘Bakakuk’ dipercayai milik suspek.

“Tangkapan kedua pula dibuat di Bau. Suspek bernama Alister anak Cogia berusia 22 tahun. Lelaki ini menggunakan akaun Facebook ‘Ayea Yea’

“Suspek kini direman empat hari hingga 7 Mac, dan kami juga sudah menerima 10 laporan polis terhadapnya,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, dalam serbuan di sebuah lokasi di Petaling Jaya semalam, seorang lagi individu berjaya ditahan.

“Suspek, Yazid Kong Abdullah, 52 tahun, ditahan kerana memberi komen jelik terhadap agama Islam yang dimuat naik melalui akaun Facebook ‘Yazid Kong’.

“Hari ini kami akan membuat permohonan reman ke atasnya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Fuzi berkata, PDRM sedang mengesan seorang lagi lelaki, dikenal pasti sebagai Alvin Chow Mun Fai, berusia 43 tahun.

Katanya, usaha mengesan dijalankan susulan komen jelik terhadap Nabi Muhammad SAW yang dimuat naik dalam akaun Twitter menggunakan nama @alvinchow333.

Tamat