Tiga maut, satu parah kemalangan di Segari

Tiga maut, satu parah kemalangan di Segari

Tiga maut manakala seorang cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Batu 11 Segari kira-kira 30 kilometer dari sini, malam tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Mohamad Sururi Ismail berkata kemalangan pada kira-kira pukul 11.30 malam itu membabitkan kereta jenis Proton Iswara dan Proton Persona yang saling bertembung antara satu sama lain di lokasi.

Katanya mangsa yang maut dikenali sebagai Nadya Osman, 36, serta rakannya, Sharifudin Shahidan, 34, yang menaiki kereta jenis Proton Iswara, manakala seorang lagi lelaki berumur 30-an tidak mempunyai dokumen pengenalan diri menaiki kereta jenis Proton Persona.

Mohamad Sururi berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 11.32 malam sebelum tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Proton Iswara yang dinaiki dua individu dari arah Taiping menghala ke Seri Manjung manakala Proton Persona dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Sururi berkata seorang lagi yang parah Henson Elizabeth, 31, yang menaiki Proton Persona dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 1.15 pagi.

— BERNAMA