Malaysia Dateline

Tiga meter kekal sebagai jarak kawasan larangan merokok

Kerajaan tidak akan berganjak dengan keputusannya menetapkan tiga meter sebagai jarak bagi kawasan larangan merokok di tempat awam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jarak tiga meter atau bersamaan 10 kaki itu adalah jarak yang boleh menjauhkan kesan asap rokok secara pasif daripada terkena masyarakat sekeliling.

“Saya tidak akan berganjak (dengan keputusan jarak tiga meter). Kita memilih jarak tiga meter itu adalah disebabkan kajian yang telah dijalankan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendapati jarak itu dapat menjauhkan kesan asap daripada terkena manusia.

“Itu (jarak tiga meter) adalah bersifat empirikal (kaedah yang digunakan melalui kajian). Jadi, saya fikir tidak wajar untuk saya melakukan perubahan daripada jarak tiga meter kepada 10 meter,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dr Dzulkefly yang juga Pengarah Strategi AMANAH berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Pemuda AMANAH Kuala Selangor berkaitan jarak bagi kawasan larangan merokok.

Selasa lalu, Pemuda AMANAH Kuala Selangor mencadangkan kepada pihak kerajaan agar jarak bagi kawasan larangan merokok ditambah sehingga 10 meter, berbanding tiga meter demi kesihatan masyarakat di negara ini.

Ia susulan keputusan yang memihak kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Selasa berhubung Kes Permohonan Semakan Kehakiman yang mencabar perintah larangan merokok, dibacakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ketua Pemuda AMANAH Kuala Selangor, Norman Naim Muhamad Rani, bagaimanapun memuji inisiatif pihak kerajaan yang telah menetapkan jarak tiga meter bagi perokok yang mahu menghisapkan rokok di kedai makan atau restoran terbuka.

Katanya, kajian yang dijalankan penyelidik antarabangsa telah membuktikan asap rokok atau wap daripada rokok elektronik adalah terlalu halus yang membolehkan ia meresap ke dalam paru-paru seterusnya memberikan kesan kepada mereka di sekeliling.

“Namun, kajian juga menunjukkan jarak 10 meter adalah paling selamat bukan sahaja di kawasan tertutup (indoor), malahan ia juga terpakai di kawasan yang sesak seperti tempat makan di bahagian luar kedai,” katan Norman Naim lagi.