Malaysia Dateline

Tiga orang solat jemaah masjid cukup penuhi tuntutan fardhu kifayah

Keputusan membenarkan cuma tiga individu untuk melaksanakan solat jemaah di masjid seluruh negeri Kedah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah mencukupi untuk memenuhi tuntutan fardhu kifayah terhadap anak kariah.

Demikian dinyatakan oleh Mufti Kedah, Datuk Paduka Syeikh Fadzil Awang setelah mendapat perkenan Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah mengenai perkara tersebut.

Katanya untuk solat fardhu, hanya tiga individu dibenarkan untuk menunaikan solat secara berjemaah di masjid melibatkan imam, pegawai masjid atau ahli jawatankuasa kariah dengan bergilir-gilir melaksanakannya bagi setiap waktu.

Walau bagaimana pun tegasnya, untuk menunaikan solat Jumaat maupun solat tarawikh masih lagi tidak dibenarkan.

“Kebenaran untuk melaksanakan solat berjemaah tersebut hanya diberikan kepada masjid sahaja dan tidak untuk surau.

” Kedudukan sesama ahli jemaah juga perlu dijarakkan sejauh satu meter sepertimana yang telah disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak perlu bimbang kerana tetap mendapat ganjaran pahala walaupun tidak dapat hadir ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah fardhu, Jumaat ataupun tarawikh kerana hadis Rasulullah s. a. w ada meriwayatkan ‘apabila seseorang sakit atau musafir(uzur) tetap akan ditulis baginya (pahala) seperti ia mengerjakannya semasa ia musafir dan berkeadaan sihat, ” tambah beliau.