Malaysia Dateline

‘Tiga pemimpin BN langgar SOP Covid-19 dah bayar kompaun ke belum?’, tanya MP

Sudah lebih seminggu berlalu sejak isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 membabitkan pemimpin politik Barisan Nasional (BN) kerana didakwa menghadiri satu majlis MIC tanpa mematuhi SOP.

Susulan kejadian itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad dan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dilapor telah dikenakan kompaun atas arahan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

'Tiga pemimpin BN langgar SOP Covid-19 dah bayar kompaun ke belum?', tanya MP

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng hari ini bertanya sama ada ketiga-tiga pemimpin politik itu sudah melunaskan kompaun mereka atau belum.

“Kegagalan mereka bukan sahaja mendapat kritikan daripada orang ramai, malah mempersendakan SOP yang ditetapkan kerajaan. 

“Walaupun ramai orang telah membatalkan perhimpunan sosial dan perkahwinan mereka, adalah pelik jika penganjur termasuk presiden MIC tidak menyedari wabak itu.

“Walaupun saya ingin YB Hishammuddin cepat sembuh daripada Covid-19, saya ingin tahu sama ada ketiga-tiga mereka termasuk penyandang Menteri Besar Johor, Hasni Mohamed telah membayar denda mereka. Jika tidak, mengapa kompaun lewat dibayar?,” soalnya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline.

Pada masa sama Lim berkata, sikap Ismail Sabri benar-benar mengejutkan kerana mempertahan menteri kanannya yang melanggar SOP Covid-19.

Baginya, pelanggaran itu tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan keselamatan rakyat.

Terdahulu, Hishammuddin terpalit dengan isu pelanggaran SOP apabila satu video tular menyaksikan beliau meredah kerumunan hadirin pada Majlis Pelancaran Briged MIC, di Kota Iskandar Johor Ahad lalu.

Beliau melalui ciapan Twitter, mengakui kekhilafannya dan mengakui ada kelemahan dalam pematuhan SOP dalam majlis terbabit.

Banyak pihak termasuk Ahli-ahli Parlimen pembangkang mula mendesak Hishammuddin meletakkan jawatan kerana Hishammuddin yang memegang jawatan sebagai pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, sebelum ini telah mengumumkan pelbagai SOP Covid-19 kebangsaan, serta mengatakan bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu dijalankan dengan selamat.