Tiga pemimpin Pas jadi menteri, lima lagi jadi timbalan menteri

Tiga pemimpin Pas jadi menteri, lima lagi jadi timbalan menteri

Tiga pemimpin Pas dilantik menyertai Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dinamakan sebagai Menteri Alam Sekitar dalam 31 senarai nama menteri tersebut.

Menurut Muhyiddin, Kementerian Alam Sekitar khusus diwujudkan bagi memelihara sumber-sumber semula jadi di negara ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung parti itu, Datuk Takiyuddin Hassan dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).

Takiyuddin yang merupakan wakil rakyat Parlimen Kota Bahru adalah antara 18 Ahli Parlimen Pas yang sebelum ini bersetuju mencalonkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali merangkap Ahli Parlimen Kuala Nerus dilantik sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Untuk rekod, Pas sebahagian daripada gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selain Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Berikut lima lagi pemimpin Pas yang dilantik sebagai timbalan menteri:

1. Ahmad Marzuk Shaary – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

2. Awang Hashim – Timbalan Menteri Sumber Manusia.

3. Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff – Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga.

4. Ahmad Amzad Hashim – Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

5. Datuk Che Abdullah Mat Nawi – Timbalan Menteri II Pertanian dan Industri Makanan.