Tiga penjawat awam, datuk dan datuk seri, ditahan SPRM

Tiga penjawat awam, datuk dan datuk seri, ditahan SPRM

Tiga penjawat awam – dua daripadanya bergelar ‘Datuk’ dan ‘Datuk Seri’ – ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini atas kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata ketiga-tiga mereka yang masing-masing berkhidmat di jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan ditahan di Kuala Lumpur, Melaka dan Kelantan.

Mereka yang berumur lingkungan 50-an ditahan dalam operasi serentak kira-kira pukul 12 tengah hari dan 2 petang tadi, katanya dalam kenyataan.

Susulan penahanan tersebut, akaun milik ketiga-tiga individu itu yang melebihi RM13 juta dibekukan.

Ia melibatkan wang simpanan dan amanah saham bernilai antara RM1 juta hingga RM6 juta.

Selain itu, kata Azam, SPRM turut menyita beberapa aset lain termasuk kondominium mewah, banglo serta kenderaan mahal seperti berjenama Maserati, BMW dan Audi yang dipercayai diperoleh daripada hasil rasuah dan penggubahan wang haram.

“SPRM juga turut menjumpai wang tunai bernilai RM400,000 termasuk dalam bentuk mata wang asing serta beberapa utas jam tangan mewah.

“Ketiga-tiga mereka kini ditahan dan akan direman di mahkamah majistret esok,” katanya.

Kes itu disiasat di bawah seksyen 17 (a) dan 23 Akta SPRM 2009 serta 4(1)(b) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram2001.

Bagi kesalahan di bawah seksyen Akta SPRM 2009, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan mengikut mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Bagi Akta Penggubahan Wang Haram pula, pesalah boleh penjara sehingga 15 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil haram atau RM 5 juta mana yang lebih tinggi.

TAGS