Malaysia Dateline

Tiga penjuru di PRK DUN Slim

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon dari Barisan Nasional (BN) dan dua calon Bebas.

Pengurus PRK DUN Slim, Shamsul Ridzuan Idris, mengumumkan senarai calon yang bertanding pada jam 10.35 pagi, selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Tanjong di sini, yang ditutup pada jam 10 pagi.

“Saya sudah menyemak kertas penamaan calon dan setelah selesai saya berpuas hati. Tiada calon ditolak kertas pencalonannya.

“Calon yang disahkan bertanding dalam Pilihanraya Negeri N.58 Slim ialah Amir Khusyairi, Zaidi Aziz dan Santarasekaran Subramaniam,” katanya dalam pengumuman sebentar tadi.

Calon PRK Slim mengangkat jari menunjukkan kedudukan mereka di atas kertas undi nanti

Pertandingan kali ini menyaksikan seorang calon Bebas, Santarasekaran Subramaniam, 44 mengemukakan borang penyerahan pada 9.02 pagi dan menjadi calon pertama yang tiba di pusat penamaan calon pada hari ini.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz pula mengemukakan borang pencalonan pada jam 9.03 pagi.

Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang bertanding atas tiket bebas pula menjadi calon terakhir yang menyerahkan borang, pada jam 9.04 pagi.

Dilaporkan sebanyak 12 borang pencalonan sudah dijual oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada wakil-wakil parti dan calon bebas.

SPR menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh PRK DUN Slim selepas kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandang, Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib dari BN pada 15 Julai lalu.

Seramai 23,094 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu membabitkan 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal dan dua pengundi tidak hadir luar negara