Malaysia Dateline

Tiga pesakit disahkan positif COVID-19 di Sarawak

Sarawak telah mencatatkan tiga pesakit yang disahkan positif COVID-19 sekali gus yang pertama di negeri ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas
Uggah, kes yang disahkan positif itu ialah dua daripada peserta yang menghadiri “Ijtima” di Masjid Sri Petaling di Selangor dari 28 Februari hingga 1 Mac baru-baru ini, manakala satu kes adalah ahli keluarga.

Oleh itu, katanya JPBN merayu kepada semua orang yang menghadiri perhimpunan itu untuk segera menghubungi hospital terdekat bagi melakukan pemeriksaan.

“Jabatan Kesihatan Sarawak telah mengesan 236 peserta dan akan terus menjejaki bakinya.

“Saya juga menasihatkan mereka yang telah menghadiri perhimpunan di Sri Petaling untuk turut mematuhi arahan dari Majlis Islam Sarawak yang dikeluarkan pada 12 Mac 2020,” jelasnya.

Sementara itu, JPBN ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa Jabatan Kesihatan Sarawak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang timbul ekoran penularan Covid-19 di hospital-hospital yang ditetapkan iaitu Hospital Besar Sarawak, Sibu Hospital, Hospital Bintulu dan Hospital Miri.

“Pusat kuarantin telah ditetapkan di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri dan bersedia untuk beroperasi,” ujarnya.