Malaysia Dateline

Tiga petugas kesihatan Kedah dijangkiti Covid-19 setiap hari

Secara purata, tiga petugas kesihatan awam dan swasta di Kedah disahkan dijangkiti Covid-19 setiap hari antara 1 Januari hingga 31 Julai lalu.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo, berkata sebanyak 665 kes atau kadar insiden 2.83 peratus dikesan sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini.

Tahun lalu, katanya, 85 kes Covid-19 dilapor dengan kadar insiden 0.36 peratus daripada keseluruhan petugas kesihatan di Kedah.

Jelasnya, tiada kematian berkaitan Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan di negeri itu dilaporkan hingga 31 Julai lalu.

“Peningkatan kadar ini adalah selari dengan peningkatan kes yang disahkan di negeri ini.

“Analisis lanjut data kes pada tahun ini menunjukkan petugas kesihatan yang disahkan positif Covid-19 berumur antara 20 hingga 60 tahun dengan 69 peratus adalah petugas perempuan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau memberitahu sebanyak 99.7 peratus kes Covid-19 sepanjang tahun ini hingga 31 Julai adalah bergejala ringan atau tanpa gejala.

“Petugas yang dijangkiti adalah kejururawatan, pegawai dan pakar perubatan, pegawai pergigian, penolong pegawai perubatan, profesional kesihatan bersekutu, pembantu penjagaan kesihatan, petugas pentadbiran dan perkhidmatan sokongan.

“Seramai 299 atau 44.9 peratus petugas kesihatan yang dijangkiti berada pada kategori satu tanpa gejala, 364 atau 54.7 peratus berada pada kategori dua iaitu bergejala ringan.

“Hanya seorang petugas atau 0.2 peratus masing-masing berada pada kategori tiga dengan mengalami jangkitan paru-paru dan kategori empat memerlukan bantuan oksigen manakala tiada seorang pun petugas kesihatan berada dalam kategori lima,” katanya.

Untuk rekod, kategori satu melibatkan pesakit Covid-19 tidak bergejala manakala kategori dua ialah penghidap yang bergejala ringan.

Kategori tiga menyaksikan pesakit mengalami radang paru-paru serta memerlukan rawatan dan pemerhatian di hospital.

Bagi kategori empat pula, selain mengalami radang paru-paru, pesakit memerlukan bantuan oksigen dengan purata jagaan di unit rawatan rapi (ICU) selama 14 hari.

Sementara itu, kategori lima merupakan fasa kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan dengan purata jagaan di ICU selama 21 hari.

Semalam, Kedah berada di kedudukan ketiga negeri tertinggi kes harian Covid-19 selepas Selangor dan Kuala Lumpur iaitu 1,610 kes.

Daripada segi bilangan kes kumulatif, Kedah di tangga ketujuh dengan 56,598 kes sehingga semalam.