Tiga pintu selamatkan 37 nyawa penghuni tahfiz

Kebakaran memusnahkan asrama penginapan pelajar perempuan Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (STIAS) di Rembau, semalam.

Tiga pintu bilik yang mudah diakses antara faktor yang menyelamatkan nyawa 37 penghuni asrama penginapan pelajar perempuan Sekolah Tinggi Islam As Sofa (STIAS) di Rembau yang terbakar jam 1.40 pagi semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, semua penghuni sempat menyelamatkan diri kerana bangunan satu tingkat itu mempunyai banyak laluan keluar dan tidak dihadang oleh apa-apa objek.

Menurutnya, pengurusan STIAS sebelum ini mengambil langkah memperbaiki semua kelemahan yang dikenal pasti selepas didenda pada 2014 kerana tidak mematuhi pelan keselamatan ditetapkan JBPM negeri.

Selain menyediakan tiga pintu, pengurusan pusat tahfiz itu meletakkan alat pemadam api di lokasi strategik, kerap mengadakan latihan serta taklimat keselamatan kebakaran.

Norazam dilapor berkata, tindakan pantas seorang pelajar yang terjaga daripada tidur sejurus melihat percikan api di siling asrama menyelamatkan 36 rakannya yang lain.

Walau bagaimanapun, asrama yang menempatkan 37 pelajar perempuan berusia 13 hingga 17 tahun itu musnah 80 peratus termasuk tilam dan barangan milik pelajar akibat kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Tiga pelajar yang menghidap asma dikejarkan ke hospital kerana mengalami sesak nafas dan dibenarkan pulang selepas dirawat di Hospital Tampin.

Sementara itu, pengetua STIAS Nor Badrulzaman Nordin berkata, enam kakitangan termasuk warden dan pengawal keselamatan gagal memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api kerana api marak dengan cepat.

Dalam tragedi yang meragut 21 pelajar dan dua tenaga pengajar di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah di Kuala Lumpur, 14 September lalu, kesemua mangsa terperangkap apabila asrama di tingkat tiga asrama itu hanya mempunyai satu sahaja pintu keluar dan masuk.

Kelmarin, JBPM Selangor dilapor mendedahkan sebanyak 104 pusat tahfiz dan sekolah pondok di negeri itu gagal mematuhi piawaian keselamatan ditetapkan termasuk hanya mempunyai satu pintu keluar jika berlaku kecemasan.

Hasil pemeriksaan JBPM Selangor sejak minggu lalu juga mendapati pusat tahfiz dan sekolah pondok terbabit tidak mempunyai sistem pendawaian selamat serta tiada alat pemadam api.

5.0
OVERALL SCORE
: 0.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS