Tiga putih, tujuh kelabu, enam hitam kawasan Dun ditandingi BN

Tiga putih, tujuh kelabu, enam hitam kawasan Dun ditandingi BN

Daripada 16 kerusi majoriti pengundi Cina yang ditandingi di Sarawak, tiga daripadanya dikategorikan sebagai kawasan putih, tujuh kelabu dan enam lagi hitam untuk calon Barisan Nasional (BN).

Sebanyak 12 kerusi yang disandang DAP dan satu lagi PKR juga tidak menjadi wajib milik pembangkang berikutan persaingan sengit daripada pelbagai parti.

China Press melaporkan, daripada 12 kerusi yang ditandingi parti komponen BN, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), sebanyak dua kerusi muncul sebagai kawasan putih iaitu Senadin di Miri dan Batu Kitang di Kuching.

Untuk empat kerusi yang dipertandingkan calon langsung berlatar belakang Parti Rakyat Bersatu (UPP) pula, hanya Bawang Assan di Sibu dianggap sebagai kawasan putih.

Penyandang kerusi Bawang Assan ialah Menteri Kewangan Kedua Sarawak, Datuk Seri Wong Soon Koh yang sebelum ini meneraju UPP.

Dalam pada itu, kerusi Batu Kawah yang ditandingi Presiden SUPP, Datuk Dr. Sim Kui Hian pula dikategori sebagai kelabu.

Kui Hian sebelum ini dilihat berpeluang lebih cerah untuk menawan Batu Kawah tetapi keadaan di kerusi itu dikeruhkan dengan calon bebas, Liu Thian Leong yang sebelum ini meneraju UPP tetapi tidak terpilih untuk bertanding atas tiket BN.

Memandangkan UPP adalah pecahan daripada SUPP, kemunculan Thian Leong dikhuatiri akan menjejaskan peluang Kui Hian di Batu Kawah.

Kui Hian juga mendedahkan aktiviti perjudian mengenai pilihan raya di Sarawak dikhuatiri akan menjejaskan peluang kemenangannya.

Selain itu, Piasau di Miri merupakan satu lagi kawasan yang menyaksikan persaingan sengit dan dianggap sebagai kawasan kelabu.

Kawasan kelabu SUPP yang lain termasuk Batu Lintang, Repok dan Meradong.

Kawasan hitam SUPP pula ialah Padungan, Pending, Kota Sentosa dan Tanjung Datu. Di Kota Sentosa, SUPP akan berdepan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.

Satu lagi kawasan hitam SUPP ialah Batu Assek di mana parti BN itu akan berdepan saingan sengit daripada Irene Chang, balu kepada bekas Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng.

Untuk calon langsung BN pula, kawasan kelabu ialah di Dudong dan Pujut.

Kawasan hitam untuk calon langsung BN berlatar belakang UPP ialah Pelawan.

TAGS