Malaysia Dateline

Anggota kumpulan Daesh Asia Tenggara.

Tiga rakyat Malaysia terbunuh di Marawi belum dikenal pasti

Identiti tiga rakyat Malaysia yang dipercayai terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Filipina di bandar Marawi, Mindanao baru-baru ini masih belum dapat dikenal pasti.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata setakat ini siasatan masih diteruskan bagi  pengesahan identiti yang terbunuh itu bagi mengelak kekeliruan kerana berdasarkan maklumat polis terdapat lima rakyat Malaysia menyertai kumpulan Daesh di Filipina.

“Polis masih menunggu (laporan) dan sebenarnya daripada lima orang yang berada di Filipina, seorang telah sah mati tahun lepas.

“Oleh itu, daripada empat rakyat Malaysia di Filipina itu, kita belum dapat sahkan siapa antara mereka yang dikatakan terbunuh,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuala Lumpur semalam.

Sebelum ini, media Filipina melaporkan dua daripada tiga rakyat Malaysia yang terbunuh itu dikenali sebagai Ustaz Abdulrahman Asmawi dari Kelantan dan Dr Kamsa Yahya dari Kedah.

Terdahulu, Khalid menerima kunjungan Menteri Keselamatan Awam China, Guo Shengkun di Bukit Aman.

Guo yang dalam rangka lawatan empat hari ke negara ini, mengadakan pertemuan kira-kira satu jam dengan Khalid serta pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengulas mengenai pertemuan itu, Khalid berkata ia diadakan bagi memperkukuhkan lagi kerjasama antara dua negara yang sudah sekian lama terjalin.

“Hubungan akrab ini membolehkan kami menyelesaikan segala masalah dengan cepat,” katanya..

Ditanya mengenai anggota polis berpangkat Inspektor yang ditemui mati dengan kesan tembakan di dahi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Kelantan pagi semalam, Khalid berkata pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kejadian itu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan SAC Din Ahmad pada satu sidang media berkata mangsa berusia 29 tahun itu ditemui anggota polis kira-kira 9 pagi ini, selepas tidak menghadiri mesyuarat pentadbiran sebagai wakil Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan.