Malaysia Dateline

Tiga suspek kes Sungai Kim Kim didakwa hari ini

Tiga suspek kes pembuangan bahan kimia beracun di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang 7 Mac lalu dihadapkan di Mahkamah Sesyen, hari ini

Mereka tiba dengan kenderaan polis kira-kira jam 9.04 pagi tadi.

Polis sebelum ini menahan lapan suspek dalam siasatan kes berkenaan.

Dua daripada suspek memakai tshirt berwarna putih menutup muka dengan topeng muka manakala seorang lagi suspek menutup muka dengan baju berwarna coklat yang dipakainya.

Turut hadir di mahkamah sesyen hari ini Pengarah Alam Sekitar (JAS) Johor Datuk Dr Muhammad Ezani Md Salleh.

Pihak pendakwa memaklumkan mahkamah, tertuduh pertama seorang pemandu lori yang ditangkap di Batu Gajah Perak pada 17 Mac lepas.

Tertuduh kedua dan ketika adalah pengarah syarikat yang ditangkap di Segamat dan Yong Peng.

Pihak pendakwaan memohon tiada ikat jamin diberikan kepada ketiga-tiga tertuduh kerana kecenderungan untuk melarikan diri.

Pencemaran yang berlaku di Sungai Kim Kim mengakibatkan hampir 4,000 penduduk sekitar Pasir Gudang mendapat rawatan kesihatan, manakala semua institusi pendidikan di daerah itu terpaksa ditutup.