Malaysia Dateline

Tiga suspek kes tembak mati anggota PGA disambung reman

Tiga warga Thailand yang disyaki terlibat kes tembak mati dan mencederakan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di tembok sempadan Malaysia-Thailand, minggu lalu dilanjutkan seminggu lagi hingga 8 Disember depan.

Perintah lanjutan reman dibenarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kangar, Siti NorHasliza Md Ali.

Tiga suspek terbabit yang berusia 34, 35 dan 38 tahun itu tiba di perkarangan mahkamah pada pukul 9.05 pagi hari ini.

Sehingga kini, polis berjaya menahan 22 orang termasuk dalang utama penyeludupan daun ketum yang berkait insiden tembakan itu.

Dalam kejadian serangan pada 3.10 pagi, 24 November lalu, anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, meninggal dunia di lokasi manakala rakannya Sarjan Norihan A/L Tari, 39, parah.