Malaysia Dateline

Tiga tahun AMANAH: Di mana AMANAH Terengganu?

Konvensyen AMANAH Nasional kali ini merupakan konvensyen pertama sejak AMANAH menjadi kerajaan, pastinya ia lebih menarik berbanding sebelumnya.

Dengan beberapa orang menteri dan timbalan menteri, AMANAH lebih selesa, iaitu selesa dari sudut kewangan, perjalanan parti seumpama, namun belum cukup selesa sebagai sebuah parti yang perlu ‘survive’ dalam arena politik Malaysia.

Pertambahan ahli dan pembukaan cawangan adalah perkara yang paling kritikal dalam tempoh beberapa tahun ini, ia harus menjadi keutamaan parti agar AMANAH mampu lebih mengukuh di persana politik tanah air.

Terengganu, negeri yang agak perlahan dalam pertambahan ahli, beberapa faktor antaranya AMANAH menjadi parti pembangkang di Terengganu dan hijrah Orang Pas yang mana menjadi sasaran AMANAH adalah kecil atas dua faktor iaitu:

i. Ketakutan diboikot masyarakat yang rata-rata Pas
ii. Pas menguasai kerajaan

Menjadi parti pembangkang merupakan antara cabaran untuk AMANAH di Terengganu, terutama kita tiada apa yang boleh ditawarkan atau khidmat kepada masyarakat apabila tiada sebarang autoriti kepada ahli parti untuk bergerak sebagai wakil kerajaan buat masa ini. Pemansuhan Jawatankuasa Kampung Persekutuan sedikit sebanyak memberi kesan kepada pergerakan akar umbi.

Namun AMANAH Negeri Terengganu tidaklah malap sepenuhnya, pertambahan ahli kekal ada walaupun perlahan, misalnya Dun Jabi di Daerah Setiu berjaya mendaftarkan hampir 500 permohonan baharu pada bulan Disember dan masih meneliti kira-kira 200 permohonan baharu menjelang akhir tahun 2018. Walaupun ia masih angka yang kecil namun momentum pertambahan ahli itu kekal berlaku.

AMANAH mempunyai kekuatan di Dun yang meletakkan calon dari AMANAH sebagai wakil Pakatan Harapan (PH), masyarakat setempat gemar pergi kepada “parti yang bertanding” di satu satu kawasan, maka kira kira 11 Dun yang ditandingi AMANAH ini menjadi kekuatan kepada parti dalam menarik keahlian baharu. Sekiranya konsistensi 400 ahli baru sebulan pun di setiap Dun, AMANAH seluruh negeri Terengganu mampu menambah sekitar 4,000 ahli sebulan.

AMANAH Terengganu juga mempunyai beberapa kekuatan lain seperti wakilnya, Datuk Raja Kamarul Bahrin dilantik menjadi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sekali gus membantu AMANAH Terengganu mengukuhkan kedudukan, kehadiran Dato Raja Kamarul Bahrin di tempat-tempat yang dilawati akan menarik masyarakat dengan permohonan keahlian parti secara berkelompok. Namun beliau seorang tidak mampu untuk ke seluruh Negeri Terengganu santuni setiap rakyatnya.

Akhir sekali sosok Datuk Raja Kamarul Bahrin sebagai Pengerusi AMANAH Negeri sendiri merupakan satu kekuatan apabila masyarakat dari awal melihat usaha beliau dalam memperjuangkan nasib rakyat negeri Terengganu, beliau dilihat sedari awal tidak memandang kritikan bahkan kecaman serta maki hamun terus berdiri di Hilux dan tepi jalan untuk memperjuangkan hak rakyat Negeri Terengganu termasuklah yang konsisten menuntut Wang Royalti dikembalikan, sedikit sebanyak menarik sokongan dan simpati masyarakat kepada AMANAH.

Namun, apa yang pasti buat masa ini kekuatan AMANAH di Terengganu masih tidak seimbang dengan kekurangan yang perlu ditampung, maka AMANAH Nasional seharusnya memainkan peranan mereka untuk menarik sokongan masyarakat akar umbi di negeri ini.

Apa kekurangan ketara AMANAH Terengganu?

Autoriti, iaitu hak dan kuasa untuk turun kepada rakyat sebagai wakil Kerajaan Persekutuan. Sehingga kini penyelaras Dun dan Parlimen masih belum dilantik, begitu juga banyak agensi Kerajaan Persekutuan masih dipaut dan dikaut oleh lantikan politik Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Pimpinan parti walau di peringkat bawah akan merasa kesulitan, apabila rakyat datang untuk meminta bantuan dari kerajaan ataupun atas kapasiti wakil kerajaan, kerana tiada apa yang boleh diberi. Akhirnya mereka tidak lagi melihat parti pemerintah kerajaan persekutuan sebagai organisasi yang perlu mereka dekati.

Kita faham dan maklum Malaysia Baharu, Kerajaan Pusat tidak akan bertindak sebagaimana kerajaan terdahulu yang menyalahguna kuasa untuk kepentingan parti, namun pada masa yang sama kita kita tidak perlu apologetik kononnya kita akan dilihat seperti Umno sekiranya tidak mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan kedudukan parti kerana pada masa yang sama parti lawan di negeri Terengganu iaitu Umno dan Pas sentiasa mencari jalan untuk menjatuhkan serta melemahkan kita.

Parti Umno hingga kini masih boleh membina kekuatan kewangan apabila aset-aset mereka seperti bangunan masih mampu menjana hingga jutaan setahun bagi memenuhi keperluan parti manakala parti dalam PH terkial-kial untuk membina kedudukan sebagaimana hal yang dibangkitkan di atas.

Manakala Pas boleh terus ke akar umbi melalui kerajaan negeri.

Maka di mana AMANAH dan Pakatan Harapan?