Malaysia Dateline

Tiga tahun tiada air, sekeluarga Dun Titi Tinggi kecewa wakil rakyat BN tidak prihatin

Berulang-alik sejauh tiga kilometer sebanyak tiga kali setiap hari untuk mendapat bekalan air bersih, amat memeritkan bagi sebuah keluarga di Kampung Kok-Mak, Jalan Padang Besar, Dun Titi Tinggi, Perlis.

Lebih menyedihkan Othman Md Arof yang mengalami penyakit asma terpaksa mendapatkan bekalan air tersebut sejak tiga tahun yang lalu.

Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Perlis,. Amran Kamarudin (kiri) menyampaikan sumbangan makanan dan beras kepada Othman semasa meninjau kediaman beliau semalam.

Semasa ditemui di kediaman beliau semalam, ia berkata tong atau bekas plastik sebanyak enam atau tujuh bekas digunakan bagi mengisi air yang diambil dari kawasan tersebut.

“Rumah yang kami sekeluarga tinggal sekarang dibina oleh Baitulmal atas tanah sendiri.

“Namun begitu apa yang amat mengecewakan ia tidak dibekalkan dengan kemudahan bekalan air hingga kini.

“Dengan membuat kerja-kerja kampung pendapatan saya hanyalah sekitar RM500 sebulan dan tidak mampu untuk membuat kerja berat kerana sering penat dan letih, ” ujarnya.

Kata beliau lagi, aduan pernah dibuat sebelum ini bagi mendapatkan kemudahan asas tersebut, sebaliknya tidak pernah mendapat perhatian.

Oleh kerana itu rayu beliau, kemudahan bekalan air tersebut amat diharapkan dengan kadar yang segera.

Manakala Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Perlis, Amran Kamarudin yang turut meninjau kediaman Othman turut berkata sepatutnya kediaman ini telah disediakan dengan kemudahan asas tersebut.

Namun begitu ia tidak dilaksanakan walaupun aduan dan laporan telah pun dibuat sejak beberapa lama.

“Adun BN bagi Dun Titi Tinggi sepatutnya lebih prihatin dan peduli terhadap masalah rakyat miskin.

“Dengan kesulitan yang dialami oleh beliau, ia terpaksa berulang alik sebanyak tiga kali bagi mendapatkan bekalan air sejauh tiga kilometer adalah suatu perkara yang amat mendukacitakan.

“Kerajaan Negeri Perlis mempunyai exco kebajikan dan sepatutnya memantau dan mengambil tindakan segera bagi memudahkan urusan yang telah berlarutan selama tiga tahun, ” tegasnya.

Tambah Amran lagi, kegagalan kerajaan negeri Perlis untuk menyelesaikan masalah kemudahan bekalan air kepada keluarga tersebut memperlihatkan ketidaksungguhan mereka untuk membela nasib rakyat miskin yang memerlukan pembelaan.