Tiga Tan Sri – setelah dipergunakan, mereka dikambing hitamkan…!

Tiga Tan Sri – setelah dipergunakan, mereka dikambing hitamkan…!

Kebelakangan ini Malaysia tidak sunyi dari berita mengemparkan.

Terakhir adalah berita nasib tiga bekas pegawai kanan tertinggi Kerajaan yang bersara atau “dibersarakan”.

Mereka adalah Tan Sri Zeti, Tan Sri Ghani Patail dan Tan Sri Abu Kassim.

Ketiga tiga sebelum ini diakui Kerajaan mempunyai rekod khidmat cemerlang.

Tiba tiba Naib Ketua Pemuda Umno membuat laporan Polis menuduh mereka memberi laporan tertentu mengenai 1MDB kepada Kerajaan Amerika.

Ini adalah tuduhan yg amat serius dan mengemparkan.

Anehnya Perdana Menteri dan Ketua Pemuda UMNO mengambil masa beberapa hari untuk menjauhkan kerajaan dan parti Umno dari tuduhan yg amat berat tersebut.

Adakah kerana reaksi marah ramai rakyat Malaysia atas tuduhan tanpa bukti itu mereka telah di nasihatkan menafikan yang laporan tersebut bukan dari arahan rasmi?

Tan Sri Ghani Patail sebagai Peguam Negara telah “dipencenkan” dengan mengejut atas alasan kononnya beliau kurang sihat.

Beliau ada mengeluarkan kenyataan selepas itu yang beliau mempunyai kesihatan baik seperti biasa.

Banyak berita tersebar yang beliau dalam proses menyiapkan laporan lengkap yang membabitkan pihak tertinggi kerajaan dalam isu kontroversi 1MDB apabila beliau dibersarakan secara mengejut!

Tan Sri Zeti pula telah dilaporkan pernah mengeluarkan beberapa surat sebagai Gobenor Bank Negara kepada 1MDB kerana tidak mengikut syarat kelulusan Bank Negara dan kesalahan kesalahan berkaitan.

Beliau diiktiraf oleh Bank-bank Negara Antarabangsa sebagai salah seorang Gabenor Bank Negara terbaik dan telus.

Tan Sri Abu Kassim pula terkenal sebagai Ketua SPRM yang tegas dan berintegriti.

Pegawai pegawai kanan beliau yan terlibat dalam siasatan 1MDB terlebih awal dahulu telah ditukar atau di “rehatkan”.
Semasa majlis perpisahan beliau dan dua lagi pegawai SPRM baru baru ini, timbalan beliau Mohd Shukri Abdul telah menyatakan dalam ucapan beliau “Kepada ahli politik, menteri dan wakil rakyat, ingatlah kamu dipilih kerana rakyat, berkhidmatlah dengan keikhlasan dan integriti.”
Ucapan tersebuttelah disambut oleh hujan air mata oleh pegawai-pegawai SPRM yg hadir. Kepada ahli politik dan menteri manakah ucapan tersebut ditujukan?

Naib Ketua Pemuda menyatakan ketiga-tiga yang beliau tuduh diatas telah menyerah laporan 1MDB dan laporan yang palsu kepada kerajaan Amerika.

Ini juga adalah tuduhan yang amat serius. Lagi banyak tanda tanya yang timbul.

Persoalan saya sebagai Ahli Parlimen, dan juga rakyat biasa, jikalau laporan yang diserahkan kepada pihak Amerika itu didakwa sebagai laporan yang palsu, yang manakah laporan yang asal dan asli?

Kedua-duanya hendaklah dipamerkan dan dibanding untuk memastikan yang mana tulin dan yang mana palsu.

Masalahnya ialah laporan asal perlu dibaca bersama dengan laporan Ketua Audit Negara yang dirahsiakan dibawah OSA- Akta Rahsia Rasmi!

Kami ahli Parlimen pun tidak dibenarkan menglihat laporan Ketua Audit Negara.

Bagaimanakah Naib Ketua Pemuda UMNO akan boleh membuktikan yang mana yang betul dan yang mana yang tidak?

Oleh itu kami menggesa beliau mendesak Dato Najib mengarahkan supaya laporan Ketua Audit Negara dibebaskan dari sekatan larangan OSA.

Dengan cara itu sahajalah tuduhan terhadap ke tiga-tiga Tan Sri tersebut boleh dibuktikan. Kami percaya dengan bantuan pengaruh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, beliau akan boleh meyakinkan Dato Najib.

Janganlah ahli-ahli UMNO dibawah Dato Najib hanya membuat tuduhan tanpa memberi bukti untuk menjustifikasikan tuduhan tersebut.

Setelah Pegawai-pegawai Kerajaan dipergunakan semasa mereka berkhidmat, sebaik sahaja mereka “pencen”, mereka dikambing hitamkan tanpa ruang untuk membela diri.

Adakah ini cara mengugut ketiga -tiga Tan Sri ini kerana mereka mengetahui segala galanya dalam isu skandal 1MDB?

Tidak cukupkah lagi segala rang undang undang seperti POCA, SOSMA, POTA, Akta Hasutan dan terakhir Majlis Keselamatan Negara-MKN, yang mula berkuatkuasa pada 1 Ogos 2016?

Apa lagi yang akan digunakan untuk memaksa rakyat menerima segala keruntuhan nilai dan akhlak yang menimpa Malaysia hari ini?

Kalau titah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang meminta Dato Najib mengkaji situasi 1MDB dan juga MKN tidak diendahkan, apalah harapan rakyat biasa seperti kami yang mengemis keadilan. Hanya kepada Allah kami mengadu dan berserah.

Raja Bahrin Shah adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu.

COMMENTS

Wordpress (0)