Tiga usul lulus bukti AMANAH peduli anak muda

Tiga usul lulus bukti AMANAH peduli anak muda

 

 

Faiz Fadzil (tengah) bersama pimpinan Pemuda AMANAH Nasional pada Konvensyen Nasional AMANAH 2017.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata, tiga usul berkaitan pendidikan, perumahan dan pekerjaan yang diluluskan pada konvensyen parti tersebut bukti kepentingan anak muda tidak sama sekali dikompromi.

Menurutnya, AMANAH bukan sekadar berbincang tentang politik Pakatan Harapan semata-mata sebaliknya turut peduli dengan hal berkaitan hak dan keadilan terhadap golongan muda bagi mencapai kehidupan lebih makmur dan sejahtera.

“Dakwaan pihak tertentu kononnya AMANAH gagal memperjuangkan masa depan anak muda yang lebih baik tidak benar jika perbahasan usul pada hari kedua Konvensyen AMANAH yang lepas diikuti sehingga selesai.

“Boleh rujuk semula pada media AMANAH bahkan rakaman perbahasan tentang usul berkaitan pendidikan, perumahan serta pekerjaan itu pun sudah dimuat naik dan boleh dilayari di laman Youtube,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Konvensyen Nasional AMANAH 2017 di Alor Setar pada 20 hingga 22 Oktober lalu menyaksikan usul berkaitan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), harga rumah mampu milik serta menangani kebanjiran pendatang tanpa asing antara enam usul yang dibahas perwakilan dan diluluskan.

Selain itu, 31 usul diluluskan tanpa bahas seperti diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Usul Konvensyen yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Usul memansuhkan pinjaman PTPTN yang selama ini membebankan graduan universiti dengan hutang pengajian dikemukakan perwakilan Pulau Pinang dengan dibahaskan perwakilan Bukit Gelugor, Fadzil Abdullah.

Usul berkenaan kemudiannya dipersetujui majoriti perwakilan dengan pindaan bagi tujuan pengukuhan selepas perbahasan wakil Pemuda AMANAH Nasional, Zubair Rahim dan Ammar Atan serta wakil Hulu Langat, Rosman Abu Samah.

Menurut Zubair, pihaknya konsisten memperjuangkan pendidikan percuma pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan saranan agar bagi jangka pendek hanya graduan yang sudah memperoleh pendapatan bersih mencecah RM4,000 sebulan diwajibkan membayar semula hutang pinjaman masing-masing.

“Kami setuju dengan usul dikemukakan Pulau Pinang tetapi dari segi teknikal ada pindaan kami cadangkan memandangkan reformasi pendidikan perlu dibuat secara bertahap.

“Hal ini kerana kesan bebanan PTPTN kepada anak muda mendapati lebih 53 peratus peminjam PTPTN mempunyai pendapatan RM1,900 sebulan.

“Kadar gaji graduan baru agak tidak banyak berubah selama lebih 10 tahun walaupun kos hidup meningkat. Maka, satu penyelesaian perlu diambil Pakatan Harapan.

“Anak-anak muda dibebani PTPTN setelah enam bulan selepas bergraduan. Nak bayar (hutang) bagaimana? Jarang (mereka) dapat kerja dalam tempoh kurang enam bulan.

“Akibatnya, nama mereka disenaraihitam dalam CCRIS (Sistem Rujukan Maklumat Kredit Berpusat) dan Imigresen. Mereka dibebankan dengan rekod kewangan yang buruk,” bahasnya.

Sehubungan itu, Pemuda mencadangkan, ujarnya, supaya beberapa pindaan dibuat kepada usul Pulau Pinang iaitu pembayaran hanya wajib selepas pendapatan peminjam PTPTN mempunyai pendapatan bulanan berjumlah RM4,000 setelah ditolak cukai selain penghapusan kadar faedah seperti diamalkan di Australia.

“Pinjam RM10,000, pulang balik RM10,000. Hapuskan penggunaan CCRIS dan sekatan Imigresen kepada peminjam yang baharu bergraduasi dan mempunyai pendapatan bulanan kurang RM4,000,” jelasnya.

Bagaimanapun, Rosman kemudiannya tidak bersetuju dengan pindaan oleh Pemuda itu kerana menyifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.

“Selepas empat, lima tahun (kerja) baru bayar PTPTN. Bagi kami, ini tidak amanah. Mana integriti kita? Apabila kita berhutang hendaklah bayar sama ada sikit atau banyak bergantung pada perbincangan dengan pihak PTPTN,” katanya.

Ammar seterusnya bangkit menjelaskan saranan Pemuda tentang angka RM4,000 itu sebagai tanda aras kerana realiti sosio-ekonomi yang dihadapi rakyat pada masa ini.

“Kami suruh bayar selepas gaji melepasi kos sara hidup lain. Hutang (dengan PTPTN) akan dibayar selepas memperoleh gaji yang seeloknya. Kenapa PTPTN kenakan caj satu peratus?

“Kita boleh tahu gaji sebenar rakyat. Tiada masalah untuk mengejar peminjam PTPTN yang gagal melunaskan (hutang). Realiti hari ini, anak muda kena paksa bayar hutang sedangkan mereka tiada pilihan lain (untuk membiayai pengajian) selain PTPTN,” jelasnya.

AMANAH peduli anak muda melalui kelulusan usul berkaitan pendidikan, perumahan dan pekerjaan.

Pekerja asing 

Sementara itu, usul bagi mendesak kerajaan menggiatkan operasi pembersihan pendatang asing tanpa izin dan menjalankan dasar pengurangan penggantungan pekerja asing secara berperingkat juga dipersetujui majoriti perwakilan.

Usul yang dicadangkan Faiz kemudiannya disokong perwakilan Tebrau, Khalidi Ramli dan dibahaskan perwakilan Perak, Richard Wong dari Pasir Salak.

Faiz berpendapat pekerja asing bukan sahaja menguasai sektor buruh bahkan mereka pada masa ini telah menguasai bidang Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

“Lihat saja di pasar-pasar, gedung beli-belah dan kedai runcit. Kebanyakannya dikuasai warga asing. Mereka datang dengan permit pekerja tetapi akhirnya mereka sekarang menjadi tauke di negara kita.

“Kalau tahun 2015, pengaliran keluar mata wang ringgit sebanyak RM34.7 bilion, Pemuda AMANAH bimbang kalau hal ini tidak dibendung, pengaliran wang kita akan meningkat dan ini akan menyebabkan ekonomi rakyat Malaysia semakin mundur,” tegasnya.

Beliau juga memberitahu kadar pengangguran dalam kalangan anak muda pada masa ini hampir 10.7 peratus termasuk melibatkan graduan.

“Kalau tiada peluang pekerjaan, bagaimana untuk kita mengharapkan kebangkitan rakyat Malaysia bersama-sama membina negara yang baru. Masalah sosial dan kemiskinan akan bertambah serta menyebabkan jenayah semakin banyak,” tambah peguam itu lagi.

Sementara itu Khalidi berkata, peruntukan dan akta berkaitan berkaitan kemasukan pekerja asing perlu diteliti bagi kemungkinan adanya ruang yang membenarkan keadaan kebanjiran imigran berlaku pada masa ini.

Beliau dalam sokongannya juga menambah agar kerajaan mengadakan kursus-kursus kemahiran yang boleh menjadi pemangkin kepada golongan muda di negara ini supaya dapat bersaing dengan pendatang asing yang menguasai kekosongan jawatan sesetengahnya memang tidak mampu dilakukan tenaga tempatan.

Richard pula bagaimanapun tidak bersetuju jika kemasukan pekerja asing dihapuskan termasuk secara berperingkat memandangkan persoalan wujudnya kekosongan tenaga kerja terutama dalam sektor pertanian.

“(Buah) sawit kita siapa nak potong? Lada hitam saya siapa nak kutip? Ini masalah orang tempatan kita buat kerja dalam bidang pertanian.

“Kerajaan persekutuan kena bertanggungjawab dengan kadar pengeluaran hasil pertanian kita yang sangat rendah. Sayuran tiada harga tetap, maka tidak boleh bagi rakyat tempatan gaji tetap dan lumayan,” ujarnya.

Beliau turut menjangkakan sebanyak 90 peratus anak muda tempatan tidak mampu bekerja dalam sektor pertanian menggantikan tenaga kerja asing.

“Saya pergi makan di restoran Cina pun, semua orang asing buat. Jadi, kita kena tekan kerajaan supaya buat sistem yang baik untuk selesaikan isu berkaitan pertanian dan pelbagai masalah kita yang lain,” ujar Richard lagi.

CATEGORIES
TAGS