Malaysia Dateline

Tiga wakil AMANAH Sarawak dilantik ke peringkat nasional

Tiga wakil Parti AMANAH Negara Negeri Sarawak telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Peringkat AMANAH Nasional 2019-2022 yang berakhir pada Ahad lalu di IDCC Shah Alam.

Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dilantik sebagai Setiausaha Organisasi manakala Fadillah Sabali yang merupakan Setiausaha AMANAH Sarawak dilantik memegang jawatan Naib Ketua 5 Pemuda AMANAH Nasional.

Sementara Ketua Awan Sarawak, Nurzaiti Hamdan turut terpilih sebagai AJK Awan Nasional pada sesi pemilihan yang berlangsung Khamis lalu.

Mengulas pelantikan tersebut, Abang Ahmad Kerdee merakamkan tahniah kepada anak-anak Sarawak yang berjaya menempatkan diri ke peringkat nasional khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak akan datang.

“Tahniah anak jati Sarawak yang telah dilantik di Peringkat Nasional Parti AMANAH Negara,” ujar beliau dalam hantaran di akaun Facebook miliknya semalam.

Bagi Fadillah, pelantikannya sebagai Naib Ketua 5 merupakan penghormatan dan pengiktirafan sayap Pemuda AMANAH Nasional kepada wakil pemuda dari Sarawak dan Sabah untuk bersama-sama terlibat dalam kepimpinan tertinggi.

“In shaa Allah…saya akan berperanan untuk memastikan suara anak muda Sabah dan Sarawak agar diberi perhatian yang khusus terutamanya dalam mendapatkan peluang membina kehidupan yang lebih baik di bumi Borneo.

“Selain itu, saya juga akan membawa nilai positif yang ada di Bumi Borneo ini untuk dihayati bersama seluruh rakyat Malaysia seperti keharmonian dan perpaduan antara kaum dengan penuh kasih sayang yang seterusnya dapat merealisasikan Rahmatan Lil Alamin dalam kehidupan seharian,” ujar beliau.

Manakala Nurzaiti yang berjaya meraih 140 undi sekali gus meletakannya di tangga ke-19 pada sesi pemilihan merakamkan terima kasih kepada perwakilan yang mengundi beliau.

“Mohon tunjuk ajar kalian semua dan semoga saya dapat menjalankan amanah yang diberi dengan sebaiknya,” tambahnya.