Tiket ETS, KTM Intercity bersempena Aidilfitri dijual bermula 10 April

Tiket ETS, KTM Intercity bersempena Aidilfitri dijual bermula 10 April

Tiket perjalanan bagi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan KTM Intercity bersempena perayaan Aidilfitri tahun ini akan mula dijual pada 10 April ini.

Dalam kenyataanya hari ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata penjualan tiket bagi perjalanan antara 1 Mei hingga 16 Jun depan adalah berdasarkan jadual waktu sedia ada.

Sebanyak 36 perjalanan kereta api ETS dan 49 perjalanan kereta api KTM Intercity disediakan bagi menampung permintaan tinggi bersempena musim cuti perayaan tersebut, demikian menurut kenyataan berkenaan.

Tiket boleh dibeli dalam talian melalui laman sesawang rasmi KTMB, www.ktmb.com.my atau menerusi aplikasi telefon pintar (KTM MobTicket) serta di kaunter-kaunter tiket KTMB.

“Jualan tiket perkhidmatan tren shuttle Tebrau (JB Sentral-Woodlands-JB Sentral) kekal seperti biasa,” demikian menurut kenyataan itu.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman media sosial KTMB iaitu KTM Berhad (Facebook), @ktm_berhad (Twitter) dan @ktmbofficial (Instagram) atau menghubungi pusat panggilannya di talian 03-22671200 yang beroperasi 24 jam setiap hari.