Malaysia Dateline

Timah mengandungi 40 peratus tahap alkohol berbanding Carlsberg 6.5 peratus

Pengeluaran arak buatan tempatan, Timah dilaporkan mempunyai kandungan alkohol yang amat tinggi sehingga 40 peratus berbanding arak jenis lain yang tidak melebihi 10 peratus.

Memetik ciapan Twitter Amanah Wilayah Persekutuan, arak jenis Carlsberg mengandungi 6.5 peratus alkohol, manakala Heineken dan Tiger beer 5 peratus.

Untuk rekod, arak jenama tempatan itu dilancarkan secara rasmi pada 7 Oktober lalu oleh Pengarah Winepak Corp, Gilbert Yeo dan Kenny Yeo.

Pelancaran arak itu mengundang marah ramai pihak termasuk Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid yang mendakwa penghasilan produk tersebut menghina agama Islam.

“Kemunculan wiski buatan Malaysia yang bernama Timah itu sangat memalukan dan satu penghinaan kepada umat Islam apabila jenama yang ditonjolkan mengaitkan dengan nama Melayu dan Islam (Timah yang disingkatkan dari Fatimah),” kata Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.

Sementara itu AMANAH WP menambah dalam ciapannya, alkohol adalah punca kepada 200 jenis penyakit menurut WHO.

“3 juta kematian setahun di dunia akibat alkohol (memetik WHO). Kalau tergagap-gagap nak jawab pada media, boleh je guna fakta atas ini untuk sanggah keburukan alkohol (@Octfest),” tulisnya.