Malaysia Dateline

Timbalan Ketua Menteri Sabah sah positif Covid-19

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian saringan, semalam.

Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah itu kini menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di Kota Kinabalu.

Setiausaha Politik beliau, Arlinsia Agang memberitahu Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berkenaan pada masa ini berada dalam keadaan stabil.

“Beliau menjalani ujian saringan Covid-19 pada Ahad (semalam) dan keputusannya menunjukkan beliau positif dijangkiti virus berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Dalam masa sama, Arlinsia berkata, walaupun dirawat di hospital, Jeffrey masih menjalankan tugas selaku Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah.

Jelasnya, Ahli Parlimen Keningau itu menjalankan tugas secara persidangan video dan aplikasi digital lain.

“Beliau memaklumkan dirinya dalam keadaan baik dan meminta semua bertenang serta berdoa agar Sabah dapat bebas daripada Covid-19,” tambahnya lagi.

Sabah hari ini berada di tangga kedua tertinggi kes positif Covid-19 dengan 303 kes selepas Selangor.

Daripada 303 kes setakat tengah hari tadi, 220 kes merupakan saringan kontak rapat, 77 lain-lain saringan dan 6 kes dari kluster sedia ada.

Sebanyak 23 mukim merah terdapat di Sabah dan empat kluster aktif masih melaporkan kes baharu Covid-19