Timbalan Ketua Menteri II Sarawak, Tan Sri Dr James Masing menyarankan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan hari mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 diadakan selama dua hari.
Justeru, katanya SPR haruslah menyediakan lebih banyak pusat mengundi bagi mengelakkan kesesakan semasa mengundi yang bakal diadakan nanti.
“Saya sependapat dengan mantan Pengerusi Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Azman Ujang bahawa PRN Sarawak wajar diadakan mungkin hingga dua hari sahaja.
“Jika tidak, mungkin boleh pertimbangkan untuk menyediakan lebih banyak pusat mengundi kerana ia berupa mengelakkan kesesakan semasa mengundi kelak,” ujarnya dalam satu kenyataan di Kuching.
Malah menurut beliau, perkara ini bukanlah yang baharu kerana SPR telah melaksanakannya pada pilihan raya sebelum ini.
Bagaimanapun apa yang menjadi tanda tanya ketika ini, sama ada SPR mempunyai kemahuan atau tidak untuk mencuba langkah berkenaan ketika situasi pandemik Covid-19 sekarang.
“Dan saya yakin kaedah pemilihan baharu adalah satu-satunya jalan penyelesaian mengatasi bahaya yang timbul akibat pandemik. Kita tidak ada banyak pilihan jika mahu meneruskan sistem demokrasi kerajaan kita.
“Malah terdapat negara lain yang telah mengadakan pilihan raya umum ditengah-tengah wabak Covid-19 tanpa kesan buruk,” tambah Masing.
Sarawak dijangka bakal mengadakan PRN12 sebaik darurat yang dilaksanakan di negeri itu tamat pada 2 Februari 2022.
Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengisytiharkan Proklamasi Darurat (Sarawak) di seluruh di seluruh negeri itu bermula 2 Ogos lalu hingga 2 Februari tahun depan sekali gus menggantung pilihan raya negeri (PRN) daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.