Malaysia Dateline

Timbalan Menteri Agama nafi arak jenama Timah produk kerajaan

Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata adalah tidak wajar mengaitkan pengeluaran arak jenama Timah dengan kerajaan.

Katanya, kerajaan menafikan mempunyai hubung kait dengan pengeluaran arak jenama tempatan itu sebagaimana tular di media sosial sejak akhir-akhir ini.

Beliau mengakui perusahaan sebegitu (minuman keras) memang wujud dalam negara ini tetapi bukan kerajaan yang keluarkan minuman itu.

“Bukan usaha kerajaan tetapi inisiatif pihak lain tiada pun campur tangan kerajaan dalam perkara ini,” katanya dipetik Sinar Harian.

Katanya Pas yang merupakan sebahagian daripada kerajaan sentiasa tegas dan konsistan membantah penjualan minuman keras di negara ini.

“Ianya selaras dengan asas perjuangan Pas sejak dahulu lagi. Pas sedia menjadikan Kelantan sebagai model dalam mengawal penjualan minuman itu,” ujarnya lagi.

Heboh diperkatakan hari ini berhubung pengeluaran arak jenama Timah dikatakan buatan Malaysia.

Produk ini telah dilancarkan awal Oktober lalu di mana pernah memenangi anugerah terbaik negara ini.

Nama Timah dipilih sebagai melambangkan usaha yang berterusan dalam sejarah Tanah Melayu yang membawa kepada kemajuan pembangunan negara pada awal abad ke-20.