Malaysia Dateline

Timbalan Menteri akui jawatan guna untuk keluar ‘surat sokongan’

Secara berterus-terang Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengakui jawatan yang diperoleh berguna untuk mengeluarkan “surat sokongan”.

Calon bertanding bagi merebut jawatan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional itu berkata demikian dalam satu dialog di sebuah restoran.

“… dan sebagai Timbalan Menteri dan insyaAllah Ketua Armada Nasional akan permudahkan, dengan bagaimana?

“Saya keluarkan surat sokongan, saya Timbalan Menteri sebagai Ketua Armada, saya akan buat salinan kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Perdana Menteri.

“Itu guna jawatan,” katanya diikuti tepukan gemuruh daripada kumpulan pendengarnya dipercayai anggota Armada.

Turut dilihat berada dalam slot itu ialah Ketua Armada Pahang, Iqmal Nizam Mohd Taufek.

Lebih mengejutkan apabila Fayhsal berkata, jawatan yang dimiliki juga akan memudahkan penyokongnya bukan untuk dirinya sahaja.

“Jawatan ini diberi untuk permudahkan kalian. Bukan untuk saya seorang.

“Tapi untuk bantu kalian, bantu saya juga. Pertama, undilah saya calon nombor satu,” katanya lagi.